KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan wujud kelemahan dalam Pelan Damai Gaza mengenai 20 Perkara bagi menamatkan perang di Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, meskipun kerajaan menyambut baik cadangan itu, terdapat beberapa perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam pelan tersebut.
“Kita juga menekankan perdamaian secara menyeluruh dan Hamas juga mahu melihat pengunduran penuh tentera Israel daripada Gaza.
“Selain itu, penentuan status negara itu mesti ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai pendirian Malaysia terhadap cadangan perjanjian damai tersebut.-UTUSAN









