PARLIMEN: ASEAN selaras dasar tenaga rentas sempadan

PARLIMEN: ASEAN selaras dasar tenaga rentas sempadan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam merealisasikan projek ASEAN Power Grid (APG) sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga dan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu di rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, komitmen Malaysia dizahirkan melalui penyertaan aktif dalam pelaksanaan perdagangan kuasa rentas sempadan serta usaha menyelaras dasar tenaga serantau di bawah kerangka ASEAN Cross-Border Power Trade.

“Malaysia melihat APG sebagai platform strategik untuk memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, berdaya saing dan mampan, selain mengukuhkan kerjasama dengan negara jiran dalam pembangunan infrastruktur tenaga hijau,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN–Kuala Pilah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Malaysia turut terlibat dalam projek Laos–Thailand–Malaysia–Singapura Power Integration Project (LTMS–PIP) yang membolehkan pertukaran tenaga elektrik antara empat negara melalui sambungan kabel bawah laut, menjadi model rujukan bagi pelaksanaan perdagangan tenaga ASEAN pada masa depan.

Fadillah menjelaskan, usaha penyelarasan peraturan dan model perniagaan tenaga kini sedang giat dilakukan oleh semua negara anggota ASEAN bagi memastikan pelaksanaan APG berjalan secara bersepadu serta menyokong matlamat kelestarian alam sekitar.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia menyokong penuh inisiatif APG yang telah dipersetujui oleh 10 negara anggota ASEAN termasuk Timor-Leste, yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama tenaga rentas sempadan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN