KUALA LUMPUR: Sebanyak 246 aduan berhubung amalan union busting atau tindakan menggugat kebebasan pekerja menubuh dan menyertai kesatuan sekerja direkodkan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dari 2015 hingga 31 Ogos 2025.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu, 158 aduan berjaya diselesaikan secara rundingan damai manakala 24 aduan masih dalam tindakan JPPM dan 64 aduan telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan untuk pendengaran kes.
Katanya, Seksyen 8(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177] memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah JPPM untuk mengambil langkah-langkah perlu atau membuat inkuiri bagi menyelesaikan aduan berkaitan amalan union busting mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Bagi aduan melibatkan syarikat Flextronics Penang dan XSD International Paper, JPPM sedang melaksanakan rundingan damai dan inkuiri selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 8(2) Akta 177,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai jumlah aduan berhubung amalan union busting dan hasil siasatan JPPM membabitkan syarikat Flextronics Penang dan XSD International Paper.
Abdul Rahman berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui JPPM sentiasa komited melindungi hak dan kebebasan pekerja untuk menubuh serta menyertai kesatuan sekerja tanpa sebarang gangguan.
“Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan termasuk program pendidikan perusahaan, pemantauan berterusan terhadap tindakan majikan serta penambahbaikan dasar bagi memperkukuh ekosistem hubungan perusahaan yang harmoni dan berkeadilan.
“Usaha itu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan prinsip keadilan sosial dan kesejahteraan pekerja di negara ini,” katanya. – UTUSAN










