Pakej murah ancam keselamatan pelancong, penyu Pulau Redang

Pakej murah tidak berlesen ancam keselamatan pelancong, penyu Pulau Redang

TANGKAP layar video tular memaparkan sekumpulan pelancong memegang dan mengganggu penyu ketika aktiviti snorkeling di Pulau Redang, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej pelancongan murah ke Pulau Redang, dekat sini kerana ia bukan sahaja berisiko terhadap keselamatan diri malah boleh mengancam populasi penyu di kawasan taman laut.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar. Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, ada pengusaha tidak berlesen yang menawarkan pakej snorkel pada harga rendah dengan menggaji individu tidak terlatih termasuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi orang awam, jangan rebut pakej yang murah sahaja kerana ini merisikokan nyawa. Ada kes yang mencekik penyu ini, apabila disiasat pengusaha mengupah pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM.

“Apakah mereka terlatih jika berlaku kecemasan ketika dalam air? Semua pengusaha bot juga wajar menunjukkan tiket taman laut yang dibeli, bukan sekadar mendakwa ia sudah termasuk dalam pakej,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab pengusaha bot dan pelancong yang tidak memahami etika snorkel turut menjadi punca gangguan terhadap habitat semula jadi penyu di Pulau Redang.

“Penyu boleh lari jauh kerana berasa terancam. Bila mereka terganggu, penyu tidak naik ke kawasan sama untuk bernafas atau bertelur. Ini boleh memberi kesan besar kepada populasi penyu dalam jangka panjang,” katanya.

Mohd Uzair berkata, pelancongan berasaskan pengalaman bersama penyu sememangnya memberi nilai ekonomi dan kese­daran, namun risikonya perlu dikawal melalui pemantauan ketat serta latihan kompetensi kepada pengusaha.

“Mereka mesti tahu etika, tahu bila boleh dekati penyu dan bila perlu menjauh. Kalau tiada ilmu, pelancong akan ikut sahaja tanpa sedar mereka sedang mencederakan penyu,” tambahnya.

Beliau turut mencadangkan pihak berwajib memperkenal lesen dan latihan kompetensi wajib kepada pemandu snorkel dan operator bot bagi memastikan mereka memahami etika sebenar di kawasan sensitif alam sekitar.

Insiden pelancong mengasari penyu di Pulau Redang baru-baru ini tular selepas video berdurasi 27 saat memaparkan sekumpulan pengunjung memegang serta menindih haiwan dilindungi itu ketika snorkel. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN