Pahang terus kekal kubu BN atau bakal rebah kepada PN?

Pahang terus kekal kubu BN atau bakal rebah kepada PN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA suhu politik negara semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), Pahang dijangka menjadi antara gelanggang utama yang bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sejak pilihan raya umum (PRU) pertama pada 1955, Pahang kekal sebagai satu-satunya negeri belum pernah ditawan pembangkang. BN mewarisi legasi Parti Perikatan gabungan UMNO, MCA dan MIC terus menjadi bahtera yang melayari pemerintahan negeri ini dengan cemerlang selama lebih enam dekad.

Rekod ini menjadi kebanggaan BN Pahang yang melihat kestabilan dan kesinambungan sebagai teras utama dalam mentadbir negeri. Dengan jaringan akar umbi yang kukuh dan pengalaman mentadbir, BN masih mempunyai pengaruh besar terutama di kawasan luar bandar dan tradisional.

Namun landskap politik pasca PRU-15 menyaksikan perubahan ketara. PN yang terdiri daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan muncul sebagai pencabar utama, khususnya selepas kejayaan mereka menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Pada PRU-15 juga, buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan Pahang tergantung ekoran tiada parti yang memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri. Akhirnya, buat pertama kali juga kerajaan negeri ini dibentuk hasil gabungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Namun PN Pahang giat menggerakkan jentera pilihan raya melalui program Jelajah Teraju Pahang 2.0 yang sudah menjelajah ke 24 kawasan DUN yang berpotensi dimenangi oleh gabungan tersebut. Langkah ini dilihat sebagai usaha awal untuk menawan hati pengundi dan memperkukuh sokongan akar umbi.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Andansura Rabu dilaporkan berkata, PN sudah mengenal pasti lima hingga enam kerusi DUN yang berpotensi menang selain mempertahankan 17 kerusi sedia ada. Jika berjaya, ini meletakkan PN dalam kedudukan dominan untuk membentuk kerajaan negeri.

PN dilihat agresif dalam pendekatan kempen, menggunakan platform ceramah, media sosial dan program komuniti untuk mendekati rakyat. Jelajah Teraju Pahang bukan sahaja menjadi medan penerangan dasar, tetapi ruang membina hubungan langsung dengan pengundi.

BN pula dijangka mempertaruh tokoh berpengalaman dan rekod pembangunan yang sudah dilaksanakan di Pahang. Projek-projek infrastruktur, pendidikan dan ekonomi akan dijadikan modal kempen untuk menunjukkan kesinambungan dan kestabilan.

Namun, cabaran utama BN adalah mengembalikan keyakinan pengundi muda dan pengundi bandar semakin cenderung kepada naratif perubahan dibawa PN. Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan integriti pentadbiran menjadi antara penentu sokongan.

Dari sudut strategi, PN memanfaatkan momentum sokongan diperoleh dalam PRU-15. Mereka kini menampilkan imej sebagai alternatif kepada BN, dengan menekankan isu ketelusan, kecekapan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Pertembungan PRU-16 di Pahang bukan sekadar soal angka kerusi tetapi soal naratif dan kepercayaan. Siapa berjaya membina naratif yang meyakinkan dan menyentuh hati rakyat, berpotensi untuk menerajui negeri ini.

Dengan kempen semakin rancak dan jentera mula digerakkan, PRU-16 bakal menjadi penentu hala tuju politik Pahang. Sama ada BN atau PN, keputusan akhirnya terletak 100 peratus di tangan rakyat yang memilih berdasarkan keyakinan.

Pahang bukan sekadar negeri biasa, ia adalah cerminan politik nasional. Maka, siapa berjaya menawan Pahang, berpotensi menjadi penentu dominasi politik peringkat Pusat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN