Operasi gelandangan akan dibuat secara berterusan - Siew Khim

Operasi gelandangan akan dibuat secara berterusan – Siew Khim

LIM Siew Khim (kiri) ketika melakukan gimik perasmian sempena Program Prihatin Penglihatan Anak-Anak Pulau Pinang di SK Bayan Baru, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan terus melaksanakan operasi bersepadu bagi menangani isu gelandangan yang dilihat semakin ketara di beberapa kawasan tumpuan khususnya di sekitar bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, usaha itu melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Operasi ini dijalankan untuk memastikan kebajikan golongan gelandangan terus diberi perhatian sewajarnya kerana kita tahu bahawa isu gelandangan ini bukan hanya berlaku di Pulau Pinang, tetapi, di seluruh negara.

“Ia merupakan satu isu dinamik dan kompleks kerana melibatkan pelbagai latar belakang serta masalah sosial yang berbeza,” katanya.

Siew Khim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman video memaparkan gelandangan tidur di kaki lima dan lorong di sekitar bandar raya ini yang tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Program Prihatin Penglihatan Anak-Anak Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, pelaksanaan operasi bersepadu membolehkan agensi terlibat mengenal pasti punca dan latar belakang individu gelandangan terbabit secara lebih terperinci sebelum tindakan lanjut diambil.

“Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental, penagihan dadah, kehilangan pekerjaan serta tidak mempunyai sokongan keluarga. Setiap kes perlu ditangani dengan pendekatan berbeza,” jelasnya.

Beliau berkata, sejak pusat transit gelandangan itu diwujudkan di negeri ini, lebih 600 individu telah ditempatkan di situ hasil operasi yang dijalankan sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Daripada jumlah itu pula, kira-kira 200 individu telah berjaya mendapatkan pekerjaan semula manakala sebahagian lain telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing selepas melalui proses kaunseling dan bimbingan.

“Usaha menyelamat dan pemulihan ini tidak berhenti setakat penempatan semata-mata. Kita mahu mereka kembali berfungsi dalam masyarakat dan tidak kembali ke jalanan,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN