KUALA LUMPUR: Enam kanak-kanak bawah umur antara 31 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Pedo 2.0 disyaki memiliki dan menjual bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi dewasa di media sosial, bulan lalu.
Lebih mengejutkan, seorang daripada suspek berusia 17 tahun yang merupakan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPRM) dipercayai menjual video-video CSAM yang dimuat naik daripada Tumblr dan jual serendah RM30 melalui Telegram sehingga mengaut keuntungan mencecah RM76,000 sejak sembilan lalu.
Op Pedo 2.0 diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dibantu oleh 206 anggota dan pegawai, dijalankan di 37 lokasi seluruh negara pada 22 hingga 30 September lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, dalam serbuan itu, seramai 31 individu berusia 12 hingga 71 tahun ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, jurutera, pereka grafik, tukang masak, pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) serta penganggur.
Katanya, daripada tangkapan tersebut, seramai enam kanak-janak berusia 12 hingga 17 tahun turut ditahan kerana memiliki dan menjual video-video tersebut.
“Modus operandi jenayah ini melibatkan tindakan suspek mengakses dan memuat turun bahan CSAM melalui Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, dark web serta ‘cloud storage’.
“Sebahagian mereka berperanan sebagai pentadbir (admin) kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan CSAM melalui transaksi e-wallet dan kod QR perbankan seperti AmBank dan Touch ’n Go.
“Pemeriksaan awal menemukan lebih 880,000 gambar dan video hasil rampasan 82 peranti digital yang mengandungi bahan CSAM,” katanya dalam sidang akhbar Op Pedo 2.0 di Bukit Aman di sini, hari ini.
Mohd. Khalid berkata, maklumat diperoleh melalui analisis siber, pemantauan dark web, serta aduan pengguna yang prihatin terhadap aktiviti mencurigakan berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.
Jelasnya, jumlah fail digital diperoleh 20 kali ganda meningkat berbanding Op Pedo 1.0 iaitu 40,000 pada Disember lalu.
“Melalui operasi ini, kita mengesan penglibatan individu yang diberi amanah seperti guru agama selain kewujudan elemen komersialisasi menjadikan pola jenayah yang semakin berstruktur dan bermotifkan keuntungan kewangan.
“Malah, kita mendapati penglibatan golongan remaja iaitu pelajar sekolah dan penuntut IPT sebagai pelaku antara umur 17 hingga 21 tahun termasuk pelajar yang mendapat keuntungan sehingga RM76,000 kerana menjual video ini.
“Jenayah seumpama ini semakin membimbangkan dari tahun ke tahun kerana bukan sahaja mengancam keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, tetapi turut menggugat keharmonian masyarakat serta berpotensi mencetuskan peningkatan jenayah kekerasan lain yang boleh menggugat keamanan negara,” katanya.
Beliau menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian kerana ia merupakan satu jenayah yang amat serius dan tidak akan dikompromi,” katanya.- UTUSAN










