SEPANG: Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir mendedahkan penyanyi dan usahawan, Nubhan, 39, pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek lapan tahun lalu sebelum sekali lagi berbuat demikian pada Ogos lepas.
Bagaimanapun katanya lafaz cerai dan rujuk semula lapan tahun lalu itu juga tidak disahkan di mahkamah.
“Plaintif pada 2017 pernah melafazkan cerai, namun dalam masa terdekat selepas itu, mereka rujuk semula. Cuma kedua-dua tindakan itu tidak didaftarkan (di mahkamah).
“Jadi, untuk pengesahan hari ini difailkan bagi talak yang dilafazkannya serta rujuk semula lapan tahun lalu selain lafaz cerai terkini iaitu pada Ogos lepas.
“Hakim hari ini akan putuskan sama ada beliau mahu mendengar kedua-dua kes, atau dahulukan lafaz talak pertama dan rujuk pada 2017 sebelum pengesahan untuk lafaz talak yang kedua,” katanya yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada pukul 9.33 pagi tadi.
Dalam masa yang sama, Akberdin juga mengesahkan Nubhan sebelum ini pernah menawarkan perceraian kepada isterinya beberapa bulan sebelum lafaz talak dibuat pada Ogos lalu.
“Nubhan ada kemukakan tawaran, bahkan dia pada bulan Ogos lepas pernah hantar surat kepada anak guam saya yang antara lain menyebut mengenai hak isteri selepas bercerai.
“Pihak kami juga telah memberikan maklum balas, bagaimanapun ia tidak diteruskan dan diabaikan begitu sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Nubhan yang tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.40 pagi tadi memohon doa orang ramai agar prosiding mahkamah berlangsung dengan baik.
“Doakan yang terbaik untuk apa yang bakal berlaku. Tiada apa untuk saya kongsikan sekarang,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Dr. Afifah yang tiba lima minit kemudian bersama Akberdin dan beberapa ahli keluarga, mengunci mulut apabila disoal mengenai prosiding mahkamah pagi ini.
Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad memfailkan pengesahan lafaz talak selepas melafazkan cerai dalam kereta, Ogos lalu.
Nubhan dan Dr. Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – UTUSAN