TUMPAT: Seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas keluarga menangkap ikan di Pantai Haji Nik Mat, di sini ditemukan selamat pagi tadi.
Mangsa Ismail Isa, 67, ditemukan selamat di perairan Pantai Senok, Bachok dekat sini pada pukul 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas dimaklumkan oleh anak mangsa semalam.
Katanya, mengikut maklumat mangsa dilaporkan telah keluar menangkap ikan pada pukul 7.30 pagi dan sempat menghubungi anaknya dan memaklumkan bahawa enjin botnya tidak dapat dihidupkan.
“Selepas itu mangsa telah terputus hubungan pada pukul 6 petang. Lokasi terakhir mangsa berada di sekitar Pantai Senok, Bachok.
“Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakan selepas itu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan serta Pasukan Polis Marin di sekitar perairan Tumpat hingga Bachok,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, mangsa telah ditemukan selamat berhampiran Muara Pantai Senok, Bachok pagi tadi.-UTUSAN










