Negeri Sembilan pertama laksana Kempen Internet Selamat di semua sekolah

Negeri Sembilan pertama laksana Kempen Internet Selamat di semua sekolah

TEO Nie Ching merasmikan Program Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Sembilan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini. - UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan muncul sebagai negeri pertama berjaya melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) secara menyeluruh di semua sekolah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kempen itu merupakan inisiatif dibawah kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dilancarkan pada Januari tahun ini.

“Setakat 8 Oktober 2025, sebanyak 4,511 sekolah di seluruh negara telah menyertai program KIS, merangkumi 3,225 sekolah rendah, termasuk 2,601 Sekolah Kebangsaan (SK), 391 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 233 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), serta 1,286 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

“Secara keseluruhan, kempen itu telah melibatkan lebih 227,000 peserta, termasuk murid, pelajar, guru dan pihak berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Sembilan di SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 479 sekolah di Negeri Sembilan telah terlibat dalam pelaksanaan KIS

“Hasrat kami adalah untuk masuk ke sekolah tidak kiralah sekolah rendah, sekolah menengah atau universiti dalam tempoh dua tahun ini supaya kita dapat mendidik generasi muda tentang cara yang beretika untuk menggunakan internet,”katanya.

Menurut beliau, sejak KIS dilaksanakan, MCMC memberi tumpuan kepada pendekatan interaktif dalam kalangan pelajar, termasuk melalui aktiviti kumpulan kecil dan perbincangan, berbanding ceramah satu hala yang panjang.

“Saya selalu turun ke sekolah dan berbual dengan murid. Kebanyakannya memberikan maklum balas yang positif dan menyatakan mereka belajar sesuatu yang baharu. Cara interaktif ini lebih berkesan untuk menarik minat pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×