PUTRAJAYA: Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dibebaskan kerana setiap keterangannya disokong dengan bukti dokumentasi.
Tidak cukup dengan itu, peguam terbabit menyatakan bahawa Najib telah bertindak untuk memulangkan baki `wang derma’ yang tidak digunakan kepada empunya wang berkenaan itu, Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi.
“Tidak seperti Jasmine Loo Ai Swan (peguam 1MDB), anak guam saya mempunyai dokumen yang menyokong setiap transaksi. Beliau mempunyai empat surat derma serta semua dokumen berkaitan. Anak guam saya sendiri telah memulangkan wang yang tidak digunakan semula kepada pemberi derma kerana beliau benar-benar percaya wang diterima adalah wang derma
“Jasmine Loo telah bertindak dalam satu siri perlakuan yang amat meragukan dan Jasmine Loo sendiri telah mengakui di mahkamah ini bahawa beliau adalah seorang pelarian. Jho Low telah membantunya untuk masuk dan bergerak secara tidak sah, tanpa cop pasport dan sebagainya.
“Dalam keterangannya dia mempercayai bahawa wang yang diterima daripada Jho Low adalah hasil usaha sama namun apabila diminta untuk ditunjukkan dokumen, dia tiada dokumen berkaitan.
“Maka persoalan yang timbul ialah bolehkah kita mempercayai beliau, setelah mengambil kira segala percanggahan dan pembohongan yang telah beliau lakukan? Bolehkah kita mempercayai bahawa seorang peguam korporat, berasal daripada firma guaman terkenal di Kuala Lumpur tidak mempunyai walau satu dokumen pun untuk menyokong dakwaannya,” kata peguam itu.
Terdahulu, seorang lagi peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin menyifatkan, Ai Swan bukanlah seorang wanita lemah yang memerlukan pertolongan seperti yang cuba digambarkannya.
Ujar peguam itu, sebagai penasihat Undang-Undang 1MDB, Ai Swan gagal melaksanakan semakan korporat asas terhadap syarikat Petro Saudi Limited (PSI) dan kegagalan itu bukan sekadar kesilapan tetapi merupakan satu tindakan yang disengajakan.
“Sekali lagi, pengurusan 1MDB menunjukkan salah laku mereka melalui pemindahan tidak sah sebanyak AS$790 juta kepada entiti palsu Aabar, walaupun tiada sebarang jaminan daripada IPIC.
“Tindakan-tindakan pengurusan 1MDB jelas menunjukkan bahawa apa yang mereka dakwa sebagai ‘terlepas pandang’ atau ‘kesilapan’ sebenarnya merupakan tindakan yang dirancang dengan sengaja sebagai sebahagian daripada skim jenayah mereka,” katanya.
Dalam keterangannya sebelum ini, Ai Swan memberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah bersumpah untuk menjadikan hidupnya menderita sekiranya beliau kembali ke Malaysia.
Tambah saksi itu, sejak sebulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Jho Low telah menghantar ancaman, iaitu dia akan menggunakan segala sumber dan kuasa yang ada bagi memastikan Ai Swan menemui pengakhiran yang dahsyat sekiranya kembali ke Malaysia.
Selain itu, Wan Azwan Aiman menghujahkan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa Najib mempunyai kepentingan langsung (direct interest) sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.
“Seperti yang telah dihujahkan sebelum ini, percubaan pihak pendakwa untuk mendakwa bahawa Najib mempunyai ‘kepentingan langsung’ tidak disokong oleh sebarang bukti.
“Jika pihak pendakwa menyatakan bahawa Najib mempunyai kepentingan langsung semata-mata kerana 1MDB dimiliki oleh Kementerian Kewangan, hujah itu sebenarnya melemahkan lagi kes mereka.?
“Ini kerana sebagai Menteri Kewangan, sudah tentunya beliau mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dimiliki kerajaan,” kata peguam itu. Prosiding bersambung Isnin ini.-UTUSAN










