Najib tidak minta kekebalan, mahu kesaksamaan undang-undang

Najib tidak minta kekebalan, mahu kesaksamaan undang-undang

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan beliau tidak pernah berhasrat untuk meminta kekebalan daripada sebarang tindakan undang-undang sebaliknya apa yang dimahukan adalah kesaksamaan dalam perlindungan undang-undang. 

Najib berkata, beliau adalah satu-satunya ahli politik dan ‘pelaku penggubahan wang haram’ yang memulangkan semula AS$620 juta iaitu jumlah wang didakwa ‘suapan’ diperoleh.

“Lebih mengejutkan lagi ialah hakikatnya, saya sendiri memulangkan sejumlah AS$620 juta kepada akaun asal kerana dana itu tidak lagi diperlukan. Sebelum pemulangan derma, saya menulis sepucuk surat kepada Gabenor bagi mendapatkan kelulusan rasmi bagi pemulangan.

“Barangkali, sayalah satu-satunya ahli politik atau penggubah wang haram, yang telah memulangkan semula suapan yang diperoleh dan barangkali juga yang pertama dalam sejarah yang telah memberikan notis terhadap wang ‘haram’ itu kepada Gabenor BNM sendiri.

“Saya hanya menuntut kesaksamaan, hak untuk diberikan perlindungan undang-undang sepertimana mana-mana individu lain yang dibicarakan sebelum saya. Keputusan Yang Arif dalam kes ini akan memberi kesan yang melangkaui kedudukan saya sendiri, ia akan menentukan bentuk prinsip keadilan yang diamalkan di negara ini,” kata Najib.

Najib berkata demikian ketika membaca kata pengantar sebelum pasukan peguam belanya memulakan hujahan akhir pembelaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini.

Terdahulu, ketika membaca kata pengantar itu, Najib berkata, saksi-saksi pendakwaan yang sepatutnya didakwa atas pelbagai salah laku yang serius tidak dituduh tetapi dilayan sebagai saksi utama pendakwaan dan dipercayai.

Antara individu tersebut dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Hazem Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi yang didakwanya terlibat secara langsung dalam transaksi mencurigakan membabitkan ratusan juta ringgit dan dolar.

Katanya, berbeza semua individu tersebut, beliau tidak pernah mempunyai sebarang akaun pesisir luar sebaliknya membuka akaun di sebuah bank tempatan. 

Najib menyatakan wang dipercayai sebagai derma oleh Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi telah digunakan bagi tujuan politik serta kebajikan masyarakat secara khusus. 

“Perbelanjaan dibuat melalui cek dengan setiap sen perbelanjaan direkodkan. Tiada sebarang lukisan bernilai jutaan ringgit atau harta mewah telah dibeli daripada dana saya terima.

“Mengejutkan, meskipun wujud gembar-gembur media berhubung jumlah sebanyak AS$681 juta, keseluruhan jumlah itu belum pernah dibuktikan boleh dikesan kepada 1MDB,” katanya.

Najib berkata, ironinya dana 1MDB berjumlah AS$1.6 bilion pula telah diselewengkan oleh Azmi dan pegawai awam yang menerima keseluruhan AS$1 juta daripada Jho Low adalah Amhari. 

“Individu-individu yang mengaku mereka telah melaksanakan rancangan sulit serta butir perbincangan dari Jho Low melalui saluran tidak rasmi dan kemudiannya menghapuskan sebahagian besar daripadanya. 

“Walaupun mereka mengingkari arahan Lembaga Pengarah, membuat keputusan tanpa kelulusan, melaksanakan pembayaran tidak sah berjumlah berbilion-bilion dan menerima imbuhan haram, mahkamah ini tetap tidak menemui sebarang sebab untuk meragui mereka ataupun kredibiliti mereka sebagai saksi. 

“Selagi mana mereka mampu memberi keterangan terhadap saya, apa jua yang mereka katakan, akui, atau lakukan, walaupun boleh dipersoalkan, mengejutkan, atau sukar untuk dipercayai, tidak sekali-kali akan menjejaskan kebolehpercayaan mereka.

“Maka tidaklah mengejutkan sekiranya saya dituduh dan diperintahkan untuk membela diri saya atas dakwaan menandatangani dokumen tidak pernah langsung dikemukakan di hadapan mahkamah ini. Ya, saya telah dituduh menyalahgunakan kuasa saya hanya kerana telah melaksanakan kewajipan rasmi di bawah arahan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Jemaah Menteri,” katanya.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN