KUALA LUMPUR: Aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Musa Nuwayri, mengesahkan pelakon dan rakannya, Ardell Aryana, pernah menerima ancaman daripada pihak tentera Israel sewaktu di imigresen mereka awal bulan lalu.
Menurut Musa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, ketika ditahan, pihak Israel bukan sahaja mengetahui latar belakang Ardell serta keluarganya malah mendakwa mereka mempunyai ‘orang-orang’ yang aktif memantau di Malaysia.
“Memang Ardell terima ancaman semasa di imigresen Israel. Mereka tanya pada Ardell ‘awak ada anak?’ dan Ardell kata tak ada. Tapi dia kata dia tahu Ardell ada dua orang anak, seorang lelaki, seorang perempuan.
“Dia kata boleh hantar orang, sebab orang mereka ada ramai di Malaysia dan boleh cari anak Ardell. Maksudnya, ada wakil mereka di Malaysia.
“Ketika saya di imigresen pun, mereka memang tahu Malaysia, dan mereka kata mereka pernah pergi Malaysia. Walaupun kalau ikutkan, Israel tak boleh datang Malaysia.
“Tapi sebab mereka boleh pegang dua kerakyatan. Tidak sukar untuk mereka datang sebab memiliki dua pasport,” katanya.
Musa ditemui Utusan Malaysia di sidang media program amal Malam Untukmu Gaza, di sini, pada Isnin.
Tidak hanya Ardell, malah pihak Israel juga memberi isyarat bahawa mereka memantau sesi siaran langsung aktivis dari Malaysia termasuklah penyanyi, Zizi Kirana.
“Ancaman itu memang ada namun kita pun sudah salurkan kepada pihak-pihak yang berkenaan,” katanya.
Tambah Musa, buat masa ini Ardell belum bersedia untuk bertemu masyarakat walaupun menerima pelbagai undangan program kerana kesihatannya belum pulih sepenuhnya.
“Setakat ini, yang kita tahu Ardell belum memenuhi mana-mana jemputan kerana kesihatannya belum mengizinkan untuk hadir.
“Tangan dia masih memakai kain anduh. Dia tidak sakit serius, cuma perlukan rehat. Tisu di bahu yang koyak masih dalam proses pemulihan dan tangannya kurang boleh digerakkan,” katanya.
Menurut Musa, beliau dan rakan-rakan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ada bertemu Ardell baru-baru ini, namun menghormati keadaan selebriti itu yang kini sibuk menguruskan hal keluarga terutamanya selepas ibunya menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.
“Kami ada saja berjumpa dengan Ardell, namun dia belum sedia bersemuka dengan publik. Walaupun menerima banyak jemputan berkongsi cerita, dia memilih untuk menangguhkan sehingga betul-betul pulih.
“Lebih-lebih lagi, dia sedang menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan potong kaki akibat komplikasi kencing manis. Kami juga ada turut serta ke Hospital Kajang bagi membantu menguruskan urusan berkaitan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Musa bersama rakan aktivis seperti Hazwani dan Heliza Helmi akan memeriahkan program amal Malam Untukmu Gaza yang bakal diadakan di Kedai Emas Sri Semantan, Cawangan Jengka, Pahang, bermula jam 9 malam, Jumaat ini.
Menurut Musa, program tersebut dianjurkan secara percuma sebagai usaha mengumpul dana membantu rakyat Gaza.
Antara aktiviti yang akan berlangsung adalah perkongsian daripada wakil aktivis Global Sumud Flotilla, solat hajat, qasidah serta penyerahan wang derma kepada wakil Cinta Salam Malaysia. -UTUSAN