Murid cadang terma 'hero friends', pelindung mangsa buli

Murid cadang terma ‘hero friends’, pelindung mangsa buli

AZALINA Othman Said selepas Sesi Town Hall 'Generasi Tanpa Buli' bersama-sama wakil murid di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang murid sekolah rendah mencadangkan terma ‘hero friends’ (hero sahabat) sebagai figura yang mampu menjadi pelindung kepada mangsa buli.

Murid berkenaan menyuarakan cadangan sedemikian ketika menyertai Sesi Town Hall ‘Generasi Tanpa Buli’ yang kemudian menerima tepukan gemuruh daripada hadirin termasuk lebih 130 murid sekolah menengah dan rendah di empat negeri yang hadir pada sesi itu.

Cadangan itu turut dipuji  Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Fadhlina berkata, beliau akui tersentuh dan suka dengan terma itu apatah lagi ia keluar dari mulut seorang kanak-kanak yang juga murid sekolah.

“Dia (murid) telah ungkapkan satu terma yang barangkali kita kena guna pakai. Apabila ada kes buli, ada satu sosok atau figura penting yang disebut sebagai hero friends.

“Dalam sistem sokongan kanak-kanak di sekolah, hero friends ini sebenarnya beri impak besar kepada dalam kehidupan murid di sekolah.

“Jadi hero friends ini, bagi saya antara benda yang kita dengar daripada nurani anak-anak sendiri dan figura itu sebenarnya mampu menjadi pelindung terutama kepada mangsa buli,” katanya.

Katanya, sesi libat urus bersama murid sekolah ini menjadi detik bersejarah apabila kanak-kanak sekolah itu dilibatkan sama dalam memberi pandangan dan idea bagi menggubal undang-undang anti buli (Rang Undang-Undang Tribunal Antibuli).

Sementara itu, Azalina berkata, beliau berjanji nama-nama murid sekolah yang memberi pandangan dan idea pada sesi ini akan disebut ketika ‘hansard’ (penyata rasmi) pada pembentangan RUU itu di Parlimen kelak.

“Ia bertujuan mengingati semangat adik-adik pada sesi ini kerana libat urus ini adalah untuk gubal undang-undang untuk kanak-kanak dan oleh kanak-kanak.

“Kita akan tulis nama adik-adik di Parlimen dan mungkin 15 tahun ke 30 tahun nanti, adik-adik pula akan menjadi menteri atau Perdana Menteri dan akan mengingati detik itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN