BUKIT MERTAJAM : Motif sebenar pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah, Juru di sini, malam kelmarin masih belum jelas buat masa ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, sehingga kini, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dari segenap sudut berhubung kes itu.
“Semua bahan bukti yang diperolehi akan digunakan untuk membantu siasatan kes ini.
“Kita akan siasat semua aspek bagi mencari punca sebenar pembunuhan mereka,” kata beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, mati dipercayai akibat ditetak dengan senjata tajam pada beberapa anggota badan termasuk belakang leher dan tangan.
Polis turut menjumpai sebilah pisau dalam kawasan semak berhampiran rumah yang disewa oleh mangsa, dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.
Susulan kejadian itu juga, suami kepada Sariya yang berusia 57 tahun telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-UTUSAN










