PETALING JAYA: Keputusan MIC untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya menjadi kenyataan bakal memberi tamparan politik besar kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, langkah itu bukan sahaja menggugat kekuatan BN sebagai tonggak tradisi politik negara, tetapi turut mencabar imej kepemimpinan kerajaan Madani yang berteraskan kerjasama pelbagai kaum.
Katanya, sama ada MIC atau bahkan MCA meninggalkan BN untuk menyertai pembangkang Perikatan Nasional (PN), persoalan yang lebih besar ialah sama ada masyarakat India akan terus menyokong kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Keputusan MIC untuk mempertimbangkan keluar daripada BN terutama disebabkan masalah berterusan dengan UMNO merupakan ujian besar terhadap gabungan pelbagai kaum pimpinan PH.
“Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, sokongan masyarakat India terhadap kerajaan pemerintah semakin merosot,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ramasamy berkata, usaha Perdana Menteri menonjolkan imej mesra masyarakat India melalui pendekatan simbolik atau gaya hiburan hanya memberi kesan sementara dan gagal memulihkan keyakinan kaum itu terhadap kerajaan.
Katanya, punca utama masalah dalam BN berpunca daripada hubungan dingin antara UMNO dan MIC yang semakin renggang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Selepas tiga tahun berkuasa, Anwar nampaknya telah kehabisan daya tarikan dramatiknya terhadap masyarakat India.
“Tidak perlu menjadi pakar politik untuk mengetahui bahawa MIC telah diketepikan oleh UMNO. Hubungan lama yang dipupuk antara kedua-dua parti kini hilang begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, tindakan UMNO yang dilihat tidak menghormati peranan MIC termasuk penafian jawatan politik serta isu-isu perwakilan telah menjejaskan keyakinan parti itu terhadap gabungan BN.
“Beberapa gerakan secara terbuka dan tertutup oleh pemimpin PN kini sedang berusaha menarik perhatian MIC.
“PN menyedari bahawa jika parti itu berjaya dipujuk untuk menyertai pembangkang, ia akan memberi tamparan hebat terhadap imej BN dan kerajaan PH,” katanya.
Menurut Ramasamy, sekiranya MIC akhirnya memutuskan untuk keluar daripada BN, langkah itu bukan hanya memberi kesan kepada BN, tetapi turut menimbulkan kesan simbolik besar terhadap kerajaan Madani yang menekankan perpaduan nasional.
“MIC menarik perhatian PN bukan kerana kekuatan sokongannya dalam kalangan masyarakat India, tetapi kerana kesan simbolik membawa sebuah parti pro-kerajaan yang lama wujud ke pihak pembangkang,” jelasnya.
Tambah beliau, MIC kini berdepan dilema besar untuk mengekalkan kredibiliti politiknya terutama selepas kehilangan pengaruh dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat India.
“Ujian sebenar bagi MIC ialah sama ada parti itu masih mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat India.
“Tanpa asas sokongan kukuh, MIC mungkin tidak lagi menjadi aset politik sama ada baik kepada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.
Katanya, MIC yang diasaskan selepas Perang Dunia Kedua sebagai wadah nasionalisme India kini perlu merangka strategi baharu agar tidak terus tenggelam dalam perubahan landskap politik negara.
“Jemputan PN kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang merupakan detik penting yang menonjolkan kepentingan parti itu dalam sejarah politik negara.
“Persoalannya kini, bagaimana MIC akan menggunakan peluang ini untuk menjamin kelangsungan dan relevansi politiknya,” katanya. – UTUSAN










