Meremajakan pertanian, menyuburkan masa depan negara

Meremajakan pertanian, menyuburkan masa depan negara

pertanian
Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, sebagai universiti pertanian terkemuka, terus komited memperkukuh ekosistem pertanian negara melalui penyelidikan, pemindahan teknologi dan program komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Bancian Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan satu hakikat yang tidak lagi boleh dipandang ringan bahawa sektor pertanian negara sedang menua.
Sebanyak 45.5 peratus atau 458,263 daripada keseluruhan populasi di Malaysia terdiri daripada petani yang berusia 60 tahun ke atas, manakala 32.3 peratus atau 326,287 orang pula berusia 59 tahun.
Realiti ini menandakan bahawa tulang belakang pertanian negara kini sedang memikul beban usia, sementara generasi pelapis masih belum bersedia mengambil tempat.
Isu ini bukan sekadar tentang kekurangan tenaga kerja di sawah dan ladang, tetapi lebih besar daripada itu kerana ia menyentuh soal kelangsungan keterjaminan makanan negara dan masa depan sektor yang menjadi nadi kehidupan rakyat.
Namun di sebalik kebimbangan ini, terselit juga ruang harapan. Usia yang semakin meningkat dalam kalangan petani membuka peluang besar untuk kita memperbaharui wajah pertanian Malaysia dengan menjadikannya bidang yang moden, bernilai tinggi dan mampu menarik minat generasi muda untuk kembali berjasa kepada tanah.
Statistik ini memberi isyarat jelas bahawa negara sedang berdepan cabaran besar dalam menjamin kesinambungan tenaga kerja pertanian. Dalam masa tidak sampai satu dekad, sebahagian besar petani akan bersara. Maka, kebergantungan kepada generasi baharu untuk meneruskan legasi ini menjadi semakin mendesak.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup turut mengakui bahawa ramai petani kini sudah berusia, sekali gus membuka ruang besar untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang ini.
Kenyataan itu menggambarkan pengiktirafan bahawa masa depan sektor ini hanya akan terjamin sekiranya golongan belia diberi ruang, sokongan dan naratif baharu untuk melihat pertanian sebagai bidang strategik dan berdaya saing.

Sekuriti makanan

Melalui dasar seperti Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (PTDSMN 2021-2025), kerajaan telah mengorak langkah memperkukuh penyertaan belia tani.
Malah, pengumuman dalam Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM20 juta geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian di bawah Program Agropreneur NextGen membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk menjadikan pertanian sebagai bidang masa depan yang berimpak tinggi.
Dalam arus ini, universiti dan institusi penyelidikan turut memainkan peranan penting sebagai peneraju dalam membina budaya pertanian berasaskan ilmu dan inovasi.
Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, sebagai universiti pertanian terkemuka, terus komited memperkukuh ekosistem pertanian negara melalui penyelidikan, pemindahan teknologi dan program komuniti.
Penganjuran Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2025 pada 18 dan 19 Oktober ini di UPM menjadi salah satu wadah penting yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi memperkukuh sektor pertanian nasional, bukan sahaja sebagai tonggak keselamatan makanan, tetapi juga sebagai pemangkin kepada pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi luar bandar.
Dalam konteks nasional, penglibatan universiti seperti UPM bukan sahaja memperkukuh rantaian ilmu dan inovasi, tetapi juga membantu membentuk semula persepsi terhadap pertanian dalam kalangan generasi muda.
Pertanian hari ini bukan lagi sekadar kerja berat di sawah, tetapi telah berkembang menjadi bidang yang melibatkan penggunaan dron, automasi, data dan kecerdasan buatan (AI) yang menuntut kemahiran tinggi, kreativiti serta pemikiran strategik.

Inklusif

Oleh itu, penting untuk kita membina ekosistem pertanian yang menyeluruh dan inklusif, dengan melibatkan pendidikan, latihan serta naratif sosial yang menampilkan pertanian sebagai kerjaya moden.
Penglibatan komuniti luar bandar perlu digabungkan dengan inovasi bandar pintar, manakala sokongan kepada usahawantani muda mesti diperkukuh melalui akses pasaran, pembiayaan dan bimbingan berterusan.
Sektor ini juga perlu diintegrasikan dengan teknologi hijau dan amalan lestari bagi memastikan pertanian kekal efisien tanpa menjejaskan alam sekitar. Pertanian moden menuntut pendekatan berasaskan sains dan data, bukan lagi bergantung sepenuhnya pada tenaga manusia dan rutin tradisional.
Golongan belia harus dilihat bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi pemimpin baharu yang berperanan sebagai tonggak masa depan pertanian negara, generasi yang berfikir global, bertindak inovatif dan menanam nilai patriotik dalam membangunkan tanah air melalui sektor agromakanan.
Jika generasi petani lama merupakan penjaga tanah, maka anak muda hari ini perlu tampil sebagai penjaga masa depan dengan menyuburkan kembali bidang pertanian dengan semangat inovasi, ilmu dan cinta tanah air.
Sudah tiba masanya golongan remaja berhenti melihat pertanian sebagai pilihan terakhir, sebaliknya mengangkatnya sebagai nadi masa depan negara.
Dan selagi ada usaha bersepadu antara kerajaan, universiti, industri dan komuniti, seperti yang dihimpunkan melalui Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan 2025, maka masa depan pertanian Malaysia akan terus subur dan relevan dalam mendepani cabaran dunia.
MOHAMAD AMIRUL MOHD ADNAN ALI
Pegawai Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN