PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, berkongsi detik cemas apabila bot yang dinaiki beliau bersama peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) dihampiri tentera Israel yang bertindak mencurahkan sejenis cecair putih ke arah bot mereka.
Tindakan itu menyebabkan bot mereka terumbang-ambing, licin dan sukar dikawal, sekali gus mengancam keselamatan seluruh kru misi kemanusiaan tersebut.
“Bot kami jadi sangat licin, mereka tuang satu cecair putih yang menyebabkan bot bergoyang dan sukar untuk dikawal.
“Bot seperti hendak tenggelam,” kata Heliza menerusi siaran langsung di Instagram pada Khamis.
Menurutnya, tindakan pihak Zionis itu dipercayai bertujuan melumpuhkan sistem kawalan bot serta menggagalkan usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Walaupun berdepan situasi getir dan menekan, Heliza dilihat tenang membacakan potongan ayat suci al-Quran berulang kali.
“Bot Israel memang besar, tapi kita ada Allah yang Maha Besar,” katanya.
Terdahulu, konvoi GSF berjaya melintasi zon merah sekitar pukul 9.40 malam pada Rabu waktu tempatan.
Misi GSF menghimpunkan aktivis dari seluruh dunia termasuk doktor, wartawan, ahli politik dan sukarelawan kemanusiaan yang membawa bekalan makanan, perubatan dan keperluan asas untuk disampaikan kepada rakyat Gaza. -JTUSAN