Media sosial hanya untuk 13 tahun ke atas

Media sosial hanya untuk 13 tahun ke atas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal mewajibkan semua pengenda­li media sosial melaksanakan pe­ngesahan identiti eKYC (electronic Know Your Customer) bagi memastikan pengguna ba­wah umur 13 tahun tidak memiliki akaun di platform berkenaan.

Langkah drastik itu diumum­kan susulan kebimbangan terhadap keselamatan dan kese­jahteraan pelajar berikutan be­­be­apa kes jenayah antaranya membabit­kan pelajar perem­puan disyaki dirogol dua rakan sekolah secara bergilir-gilir di Melaka minggu lalu dan tragedi pelajar perempuan tingkatan empat maut ditikam oleh rakan sekolah lelaki di sebuah sekolah di Petaling Jaya, kelmarin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu dibuat bagi melindungi kanak-kanak daripada bahaya di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti platform media sosial dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

“Saya telah nyatakan dengan jelas kepada semua wakil platform media sosial bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti eKYC, khususnya bagi menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun. Saya akan membentangkan garis masa pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri sebelum pengumuman rasmi dibuat,” katanya semalam.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan mesyuarat dengan syarikat media sosial minggu hadapan bagi membincangkan langkah segera ke arah pelaksanaan eKYC.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam, menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan tegas berhubung isu keselamatan di sekolah susulan insiden seorang pelajar ditikam di sebuah sekolah kelmarin.

Langkah itu termasuk me­neliti semula pengaruh aplikasi media sosial melalui penggunaan telefon pintar yang dilihat semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar.

“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen tentang sekolah terbabit, tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial, aplikasi.

“Jadi mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini. (Kerajaan) harus ambil tindakan tegas,” katanya.

Anwar berkata, hasil penelitian awal menunjukkan punca kejadian isu disiplin di sekolah banyak berkait rapat dengan pengaruh media sosial dan penggunaan telefon pintar secara berlebihan.

Beliau menegaskan keperluan untuk pihak sekolah dan keluarga memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik serta memantau anak-anak agar tidak terjebak dengan pe­ngaruh negatif di alam maya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×