‘Medan perang bukan tempat asing bagi umi’

‘Medan perang bukan tempat asing bagi umi’

Panggilan video antara Dr. Fauziah, suaminya, Mohd. Alauddin bersama anak-anak dan cucu sebelum ditahan rejim Zionis, kelmarin (Rabu).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Medan perang bukan tempat yang asing untuk umi (Dr. Fauzi­ah Hassan) kerana pernah bertugas di Kosovo, Afghanistan dan Gaza sejak 1999,” kata Shamil Mohd. Alauddin.

Shamil, 40, anak kedua pasangan Dr. Fauziah dan Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali berkata, walaupun ibunya sudah banyak kali berkhidmat di medan perang dan pernah ditahan rejim Zio­nis sebelum ini, kebimbangan terhadap keselamatan mereka masih sama.

Katanya, belum ada sebarang perkembangan terhadap keadaan ibu dan bapanya yang kini ditahan selepas kapal Conscience yang dinaiki mereka da­lam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).

“Kali terakhir kami se­keluarga berbual adalah pada petang Selasa. umi dan baba seperti biasa membuat panggilan video bersama kami adik-beradik menceritakan keada­an di atas kapal dan aktiviti mereka.

“Selepas dimaklumkan umi dan baba ditahan, kami sekeluarga memang risau, apa-apa sahaja boleh berlaku, tetapi kita berdoalah harapnya tak ada apa-apa yang buruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Berkongsi kisah ibunya, Sha­mil berkata, penyertaan Dr. Fauziah dalam misi FFC x TMTG sebenarnya berlaku pada saat akhir ketika ibunya terbang ke Itali untuk menghantar sahabat, Dr. Maziah Muhammad mengikuti misi tersebut.

Katanya, di Itali, peserta misi dimaklumkan baha­wa Conscience sudah pulih dibaiki dan dibenarkan menyertai pelayaran, lantas dicalonkan nama Dr. Fauziah dan suami untuk menyertai.

“Umi mesej kami maklumkan mahu naik kapal dan minta kami sediakan barang keperluan. Baba waktu itu masih di Kuala Lumpur. Jadi kami adik beradik bantu kemas barangan dan persiapkan segala keperluan untuk mereka bawa.

“Kemudian, kami hantar baba ke lapangan terbang dan ‘bismillah’,” katanya.

Shamil berkata, ke­luarganya reda dengan hasrat untuk me­nyertai misi itu bahkan kedua-duanya sebenarnya mahu berlayar sejak tahun lalu lagi.

Katanya, hasrat itu terbantut selepas Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, kerana kapal yang sepatutnya dinaiki di­sa­botaj pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan kali pertama umi pergi ke tempat berbahaya, pada 1999 beliau ber­khidmat di Kosovo, pernah ke Afghanistan dan dua kali ke Gaza melalui jalan darat. Jadi kalau tiba-tiba mereka hendak pergi menyertai misi-misi sebegini, kami sekeluarga tak terkejut cuma risau keselamatan mereka berdua.

“Cuma kami harap semua delegasi Malaysia termasuk umi dan baba dibebaskan dengan segera dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.

Sembilan rakyat Malaysia kini ditahan Israel selepas kapal Consciene dan Umm Saad di­pintas.

Aktivis Malaysia yang menaiki Conscience ialah ketua misi, Dr. Mohd. Alauddin; Dr. Fauziah, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi pensyarah ialah, Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Norsham Abu Bakar.
Umm Saad pula dinaiki seorang wakil Malaysia, Dr. Maziah Muhammad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN