BUTTERWORTH : Mayat yang dijumpai dalam bagasi berhampiran sebuah pangsapuri di Ampang Jajar di sini semalam dikenal pasti sebagai Lee Boon Han, 31, iaitu seorang pemuda yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.
Pengesahan itu dibuat oleh ahli keluarga mangsa selepas mereka hadir sendiri ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, pagi tadi.
Ketika ditemui, mereka bagaimanapun memohon agar diberikan ruang selain enggan ditemuramah oleh pihak media.
Difahamkan, mangsa bekerja sebagai seorang ejen insurans dan dikatakan mempunyai urusan kerja di Perlis sebelum gagal dihubungi sejak kelmarin.
Semalam, media melaporkan, satu mayat dengan kesan kelar di bahagian leher, tangan diikat, selain kepala diserkup plastik dijumpai dalam sebuah bagasi.
Bagasi itu ditemukan oleh pekerja pembersihan saluran kira-kira pukul 1.40 tengah hari sebelum melaporkan kepada pihak polis.
Difahamkan juga, mangsa baru sahaja dibunuh berdasarkan kepada keadaan mayat dan kesan kecederaan yang dialaminya ketika itu.-UTUSAN