BUKIT MERTAJAM : Kedua-dua mangsa yang mati dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Sekolah, Juru di sini malam tadi mengalami luka yang teruk dipercayai akibat tetakan pada bahagian leher.
Perkara itu disahkan oleh seorang pakar patologi forensik iaitu Datuk Dr. Zahari Noor sebaik sahaja proses bedah siasat kedua-dua mayat selesai kira-kira pukul 4.30 petang ini.
Dr. Zahari berkata, pemeriksaan mendapati, mangsa-mangsa itu mungkin diserang pada waktu yang hampir sama atau berturut-turut dan ia mungkin dilakukan oleh seorang penyerang sahaja.
Katanya, ketika diserang, kedua-dua mangsa juga dikatakan cuba melawan dan berlaku pergelutan antara mereka dengan suspek sebelum dibunuh.
“Berdasarkan pemeriksaan, kedua-duanya si mati dipercayai mengalami tetakan pada bahagian belakang leher dengan senjata tajam yang berat.
“Kita percaya senjata itu mungkin parang atau pisau pemotong daging kerana pisau biasa ‘tak jadi’ (tak boleh mendatangkan kecederaan yang teruk),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, kedua-dua mangsa iaitu Sariya Che Hin, 51; dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dijumpai dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk tangan yang terputus serta kepala yang hampir putus.
Abang mangsa, Bismi Che Hin, 61, memaklumkan, adiknya itu merupakan nenek saudara kepada kanak-kanak berkenaan yang telah dijaganya sebagai anak angkat sejak kecil.
Dalam pada itu, suami kepada Sariya turut direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.-UTUSAN










