JERANTUT: Jentera pengurusan bencana negara perlu bersiap siaga sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua jentera kerajaan bahawa Malaysia tidak kebal daripada ancaman bencana dengan mengambil iktibar kejadian gempa bumi lemah di Segamat, Johor pada 24 Ogos lalu serta kejadian banjir dan tanah runtuh di Sabah pada awal September hingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Untuk itu, saya sudah mengarahkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua peringkat diaktifkan lebih awal bagi memastikan pemantauan dan koordinasi berjalan lancar sebelum bermulanya MTL.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan MTL 2025/2026 bermula awal November ini hingga penghujung Mac 2026 dan dipengaruhi oleh fenomena La Nina lemah. Keadaan ini membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan, melebihi purata biasa lima episod setiap musim.
“Sabah dijangka mengalami hujan melebihi paras purata dari November hingga Februari 2026 manakala kemuncak hujan dijangka pada Disember 2025, melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Risiko banjir besar meningkat sekiranya hujan berterusan berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar. Oleh itu, MET Malaysia akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada, Buruk, Bahaya) sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan tindakan pantas dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di Dewan Banquet Majlis Daerah Jerantut di sini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana berkata, daripada aspek persediaan mitigasi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesahkan terdapat pengurangan ketara lokasi panas banjir daripada 4,619 lokasi (2024) kepada 3,683 lokasi (2025) menunjukkan perkembangan positif hasil daripada pelaksanaan projek mitigasi kerajaan.
Beliau berkata, walaupun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa pembangunan pesat masih menyumbang kepada risiko banjir.
“Maka komitmen negeri amat diperlukan untuk memastikan usaha pencegahan banjir dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Menurutnya, dalam mesyuarat itu juga, jawatankuasa bersetuju membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) di Jerantut sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana di peringkat komuniti.
Projek tersebut, katanya, dijangka dimulakan pada 2026 dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi teknikal berkaitan.
“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) juga melaporkan sebanyak 110 kejadian tanah runtuh di Pantai Barat Sabah telah berlaku sehingga 19 September 2025 yang telah mengorbankan 13 nyawa.
“Sejumlah 34 lokasi cerun kritikal berisiko tinggi kini dipasang dengan Sistem Amaran Awal (EWS) bencana geologi tanah runtuh. Saya telah memberi mandat kepada JMG sebagai penyelaras pemantauan cerun berisiko di seluruh negara serta perlu kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain dan juga pihak swasta.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi MTL 2025/2026 dan saya telah meminta supaya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melihat mekanisme pengurusan pasca bencana dengan mengambil kira peranan agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat industri berkaitan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan penduduk setempat,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperuntukkan RM460 juta bagi pengurusan bencana 2026 semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada. 10 Oktober lalu. – UTUSAN