Warga emas ditahan, terlibat khianat pecah mesin ATM

Warga emas ditahan, terlibat khianat pecah mesin ATM

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sekitar kawasan Sentul dekat sini.

Suspek berusia 67 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul kira-kira pukul 3.21 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam kaunter mesin ATM sebelum memecahkan skrin mesin menggunakan objek disyaki batu.

Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM.

“Beberapa barangan dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut termasuk pakaian, sebuah motosikal, sebuah topi keledar serta seketul batu turut dirampas.

“Dengan tertangkapnya suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang sebelum ini dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tujuan pertuduhan.

Terdahulu media melaporkan, polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes khianat yang menyebabkan 12 unit mesin ATM pecah di kawasan Jinjang Utara dan Selatan, di sini, kelmarin.

Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) suspek yang bertopi keledar masuk ke dalam kaunter dan memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN