Malaysia terus bersuara desak hak Palestin dikembalikan

Malaysia terus bersuara desak hak Palestin dikembalikan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan akan terus tegas bersuara di peringkat antarabangsa mendesak agar keadilan ditegakkan dan hak rakyat Palestin dikembalikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Palestin kerana kemanusiaan tidak boleh dijadikan tebusan.

“Dunia sekali lagi menyaksikan wajah sebenar Israel, sebuah rejim penjajah yang tidak menghormati undang-undang, tidak menghormati nyawa, malah sanggup menindas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Kapal-kapal yang membawa sukarelawan dan bekalan penting untuk rakyat Palestin kini berdepan intimidasi, kekerasan dan paksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata, misi GSF bukan sahaja membawa bantuan kemanusiaan, tetapi juga melambangkan solidariti, kasih sayang dan harapan dunia terhadap Palestin.

“Tindakan Israel bukan sahaja kezaliman terhadap rakyat Gaza, malah penghinaan terhadap suara kemanusiaan sejagat,” tegasnya.

Beliau berkata, seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah dan diplomatik bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat.

“Keselamatan rakyat kita adalah keutamaan. Dalam hal ini, kita tidak akan berkompromi,” katanya.

Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Mereka termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga; Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli yang menaiki kapal Sirius. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×