Malaysia Techlympics 2025 galak budaya inovasi, 5,000 peserta berentap peringkat akhir

Malaysia Techlympics 2025 galak budaya inovasi, 5,000 peserta berentap peringkat akhir

Program Malaysia Techlympics 2025 bakal menjadi pentas terbesar mencungkil bakat baharu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Malaysia Techlympics 2025 bakal menjadi pentas terbesar mencungkil bakat baharu dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), apabila menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara bagi saingan peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 9 dan 10 November ini.

Dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai gerakan nasional pembudayaan STI, Malaysia Techlympics berperanan menyemai minat terhadap sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda berusia 7 hingga 30 tahun, di samping membina keyakinan bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan melalui teknologi.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud, berkata Malaysia Techlympics bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya satu usaha menyeluruh menjadikan STI sebagai gaya hidup baharu masyarakat.

“Kami mahu pelajar rasa bangga, ibu bapa yakin dan masyarakat melihat bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan.

“Dari pentas Malaysia Techlympics ini, mungkin lahir saintis, pencipta dan usahawan teknologi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penyertaan luar biasa tahun ini membuktikan keberkesanan program tersebut apabila lebih 1.84 juta penyertaan diterima daripada 1,420 sekolah seluruh negara, menjadikannya program pembudayaan STI terbesar sejak diperkenalkan pada 2022.

Malaysia Techlympics 2025 turut mencatat sejarah tersendiri dengan penyertaan antarabangsa dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan China, yang bakal bertanding dalam empat acara utama di peringkat akhir.

Selain merebut trofi dan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM141,100, pemenang juga berpeluang mewakili Malaysia ke pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Pilot X International di Hong Kong pada Februari 2025 yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia.

Menariknya, Malaysia Techlympics mengetengahkan pendekatan luar biasa, global dan inklusif, apabila turut membuka ruang penyertaan kepada pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Seramai 2,500 pelajar PPKI akan berentap dalam Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman), yang buat julung kali diadakan secara fizikal di pentas akhir.

Menurut Abdullah, MOSTI turut melaksanakan lebih 90 program keterangkuman atau outreach di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli bagi memastikan peluang penyertaan yang saksama untuk semua lapisan pelajar.

Selain pertandingan, MITC Melaka akan menjadi tumpuan dengan pelbagai aktiviti mesra keluarga, termasuk pameran STI dengan 40 ruang interaktif, demonstrasi teknologi, aktiviti sains dan pertunjukan khas.

“Salah satu tarikan utama ialah pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia melibatkan 40 unit dron yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Records,” ujarnya.

MOSTI menyasarkan lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan acara kemuncak itu yang dibuka secara percuma kepada orang ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN