Malaysia sedia hantar pasukan pendamai ke Gaza

Malaysia sedia hantar pasukan pendamai ke Gaza

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seterusnya diputuskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada saja pasukan pendamai, kita akan kirim.

“Saya setuju pasukan pendamai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sama ada Malaysia akan menghantar pasukan pendamai ke Gaza, berikutan kebimbangan Israel akan melanggar perjanjian pelan damai Gaza dan menyerang kembali wilayah itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia bersedia menghantar pasukan pakar perubatan serta bantuan kemanusiaan merentasi pintu sempadan Rafah bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas di Gaza.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri yang menjangka dapat menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi petang ini bagi memohon agar laluan tersebut dibuka melalui wilayah Mesir.

“Semalam, saya minta Presiden el-Sisi di Sharm el-Sheikh, kemungkinan besar petang ini jika saya dapat bicara akan minta supaya laluan diberikan melalui pintu Rafah di Mesir dan membawa masuk pakar-pakar perubatan.

“Daripada kita bawa mereka ke sini, lebih baik kita bawa pakar-pakar kita dan bantuan merentas masuk melalui Rafah dan bantu rakyat Palestin,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu tahu kesediaan kerajaan untuk menghantar sukarelawan khususnya membantu dalam aspek perubatan terhadap penduduk di Gaza.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN