Malaysia pertimbang import daging halal AS$200 juta dari Pakistan

Malaysia pertimbang import daging halal AS$200 juta dari Pakistan

ANWAR Ibrahim bersama Muhammad Shehbaz Sharif serta delegasi ketika mesyuarat dua hala sempena lawatan rasmi Pakistan ke Malaysia selama tiga hari di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/ FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Pakistan terus diperkukuh apabila kedua-dua negara bersetuju meneroka potensi besar dalam eksport daging halal bernilai sehingga AS$200 juta (RM842 juta).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik minat Pakistan untuk mengeksport daging dan hasil ternakan ke negara ini dan akan memberi segala kemudahan sewajarnya bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Terdapat minat untuk mengeksport daging ke Malaysia. Kita akan memudahkan urusan ini. Memandangkan pihak Pakistan memberi jaminan harga yang kompetitif, Malaysia akan melakukan apa yang perlu bagi melancarkan pelaksanaan.

Malah, nilai eksport yang dicadangkan mencecah AS$200 juta,” kata beliau ketika sidang akhbar bersama Muhammad Shehbaz Sharif sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan itu ke Malaysia, di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Shehbaz menzahirkan penghargaan atas kesediaan Malaysia membuka ruang pasaran yang lebih luas kepada produk daging dari negaranya.

Beliau menegaskan, eksport daging ke Malaysia akan dikawal selia mengikut mekanisme harga pasaran serta mematuhi sepenuhnya keperluan pensijilan halal dan piawaian keselamatan makanan seperti ditetapkan pihak berkuasa Malaysia.

“Perdana Menteri telah mengumumkan kuota eksport daging bernilai AS$200 juta dari Pakistan ke Malaysia. Saya amat berterima kasih atas pengumuman yang begitu bermurah hati ini.

“Namun, saya ingin menjelaskan kepada pengimport serta pegawai Malaysia bahawa eksport ini akan dikawal melalui mekanisme harga pasaran dan tertakluk kepada semua pensijilan halal serta peraturan keselamatan makanan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pemeteraian enam Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh hubungan dua hala merangkumi bidang diplomasi, pendidikan tinggi, pelancongan, halal, usaha memerangi rasuah serta pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Antara MoU yang ditandatangani ialah Pertukaran Nota antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Akademi Perkhidmatan Luar Pakistan mengenai kerjasama dalam bidang latihan untuk diplomat.

Selain itu, turut dimeterai MoU antara Kerajaan Malaysia dan Pakistan dalam bidang pendidikan tinggi, MoU mengenai kerjasama dalam bidang pelancongan, serta MoU mengenai pensijilan halal.

Dalam masa sama, Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam membanteras dan mencegah rasuah turut ditandatangani, mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara memperkukuh integriti dan tadbir urus baik.

Kerjasama ekonomi turut diperluas melalui MoU antara Pihak Berkuasa Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEDA) Pakistan dan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia) bagi merancakkan pertumbuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Anwar berkata, kedua-dua negara kini bersedia memperluas jaringan ekonomi serta memperkukuh daya saing serantau melalui pendekatan kerjasama yang saling menguntungkan.

“Kita percaya hubungan Malaysia dan Pakistan tidak hanya berasaskan sejarah, tetapi kepada keyakinan bahawa sinergi antara kedua-dua negara mampu membuka ruang baharu dalam bidang ekonomi dan pembangunan manusia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN