Malaysia perlu jadi contoh negara ASEAN pelihara alam sekitar

Malaysia perlu jadi contoh negara ASEAN pelihara alam sekitar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menjadi contoh utama kepada negara-negara ASEAN dalam usaha memelihara alam sekitar dan menggalakkan amalan perniagaan hijau di semua peringkat industri.

Ini selari dengan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Peralihan Hijau yang akan dilancarkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bagi memperkukuh komitmen serantau terhadap agenda kelestarian dan ekonomi hijau.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ia menandakan satu langkah strategik dalam memperkasa PKS agar lebih peka terhadap tanggungjawab pemeliharaan alam sekitar dan keperluan untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan peralihan hijau global.

“Selama ini, kesedaran terhadap tanggungjawab pemeliharaan alam sekitar lebih tertumpu kepada syarikat-syarikat besar. Usaha ini penting untuk memastikan PKS turut memainkan peranan dalam mengurangkan jejak karbon dan mengamalkan kecekapan tenaga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Rizal berkata, pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membantu PKS mencapai penjimatan tenaga dan kos operasi jangka panjang.

“Setiap keputusan perniagaan, wajar mengambil kira impaknya terhadap alam sekitar bagi memastikan pembangunan ekonomi yang mampan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan disaran supaya lebih proaktif menyokong PKS yang ingin melaksanakan amalan hijau, termasuk melalui insentif cukai, geran penyelidikan serta kemudahan pembiayaan khusus bagi projek berkaitan tenaga lestari dan teknologi hijau.

“Langkah-langkah ini akan mempercepatkan peralihan hijau dalam kalangan PKS dan menempatkan Malaysia sebagai peneraju dalam transformasi ekonomi hijau di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, peralihan hijau ini merupakan langkah strategik untuk mengubah model ekonomi PKS sedia ada kepada model yang lebih mampan dan mesra alam, tanpa menjejaskan kestabilan ekosistem ekonomi semasa.

“Usaha ini melibatkan penstrukturan semula proses pengeluaran, operasi, pengurusan serta penggunaan sumber, agar sejajar dengan matlamat pembangunan lestari di rantau ini.

“Pusat tersebut akan menjadikan kelestarian ekonomi sebagai amalan terbaik dalam kalangan negara ASEAN, sekaligus memperkukuh daya saing rantau ini dalam ekonomi global yang semakin berorientasikan hijau,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan pusat serantau baharu akan menjadi platform penting bagi negara anggota ASEAN untuk memperkukuh komitmen meningkatkan perdagangan serantau, di samping membuka akses lebih luas kepada pasaran rentas sempadan.

“Pusat tersebut turut berperanan sebagai pemangkin inovasi dan kemakmuran ekonomi dalam kalangan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), selain mempertingkat penglibatan PKS dalam hubungan intra-ASEAN,” katanya.

Umi Hamidaton berkata, pusat serantau ini juga bakal berfungsi sebagai hab sokongan kepada PKS dalam peralihan ke arah teknologi hijau, termasuk penggunaan teknologi bersih, amalan kitar semula, serta sistem tenaga cekap.

“Pendekatan ini dijangka bukan sahaja mengurangkan kesan alam sekitar, malah meningkatkan kecekapan kos dan produktiviti jangka panjang bagi PKS di seluruh rantau ini.

“Dengan langkah ini, ASEAN dilihat semakin selaras dengan agenda global dalam pembangunan mampan dan ekonomi hijau, sambil memastikan PKS terus memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan ekonomi dan inovasi masa depan rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×