PUTRAJAYA: Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat ke atas semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal yang berada di atas kapal Global Sumud flotilla (GSF).
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk 12 rakyat Malaysia, serta pembebasan kapal-kapal mereka, di samping memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
“Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap Global Sumud Flotilla, yang merupakan satu misi kemanusiaan aman yang membawa bantuan ke Gaza.
“Tindakan tanpa provokasi dan sembarangan ini merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza.
Katanya, pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas dari sebarang hukuman.
Ini termasuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
“Malaysia kekal teguh menyokong segala usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya. – UTUSAN