PETALING JAYA: Malaysia dan Arab Saudi komited memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial dan diplomasi budaya menerusi platform antarabangsa seperti World Scout Foundation (WSF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga WSF, Puteri Sama Faisal Al Saud di pejabatnya, semalam.
Katanya, kunjungan tersebut bersempena penganjuran 77th World Baden-Powell Fellowship Event yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula semalam hingga 26 Oktober ini.
“Perbincangan kami menyentuh peranan WSF dalam memperkasa generasi muda di peringkat global.
“Ia termasuk inisiatif Messengers of Peace yang memberi impak positif terhadap pembangunan belia dan keamanan sejagat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, kedua-dua negara itu berkongsi aspirasi yang sama dalam memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial dan diplomasi budaya.
“Semoga jalinan kerjasama ini terus mekar dan menjadi platform penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.-UTUSAN










