Makmal robotik SK To’Ba jadi daya penarik murid ke sekolah

Makmal robotik SK To’Ba jadi daya penarik murid ke sekolah

HAMZAN Hussein (tiga dari kiri) bersama Che Rasaidi Che Yob (dua dari kanan) meninjau inovasi dihasilkan oleh murid-murid di makmal robotik SK Tok’Ba, Kangar. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tok Bandar, Kangar Perlis atau lebih dikenali sebagai SK To’Ba melakar sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah pertama di Perlis mempunyai kemudahan makmal robotik bagi kegunaan murid-murid.

Bermula daripada sebuah setor penyimpanan barangan, satu inisiatif telah digerakkan oleh guru-guru sekolah berkenaan bersama sokongan Jabatan Pendidikan negeri bagi mengubah suai bilik itu untuk dijadikan sebagai makmal robotik.

Inisiatif yang dibangunkan sejak awal tahun ini turut membantu memperkasakan bidang inovasi dalam kalangan murid berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menariknya, usaha yang dilaksanakan itu telah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila beberapa pencapaian diraih sekolah pinggir bandar itu menerusi penyertaan dalam pertandingan inovasi sehingga melahirkan juara bertaraf dunia.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SK To’Ba, Hamzan Hussein berkata, cetusan idea bagi menubuhkan makmal robotik itu adalah hasil daripada pasukan pemikir sekolah berkenaan memandangkan guru-guru memerlukan ruangan khas untuk mengadakan latihan dan aktiviti.

Katanya, fokus makmal tersebut sebenarnya adalah untuk tahap dua namun jika ada keperluan, turut benarkan murid tahap lain untuk masuk sebagai pengenalan.

“Tahap satu pun jika mereka minat, kita akan tarik untuk bermain dalam mencungkil kebolehan mereka dalam bidang inovasi ini,” katanya.

Hamzan berkata, pada peringkat awal, murid-murid sekolah itu akan didedahkan dengan aktiviti robotik terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada inovasi pembelajaran.

Menurutnya, langkah ini berupaya menambah minat murid-murid khususnya dalam bidang inovasi selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Dalam pertandingan disertai, murid kita juga turut memperkenalkan permainan robot berlainan dengan kemahiran serta peraturan berbeza.

“Malah paling membanggakan, kita juga tidak menghantar murid sama namun pelapis yang berlainan untuk mewakili sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Guru Penyelaras Pasukan Robotik SK To’Ba, Mohd Amirul Aliff Hashim berkata, fokus bagi membangunkan makmal itu adalah sebagai persediaan buat murid sekolah berkenaan yang rata-ratanya dalam kelompok B40 untuk bersaing dalam era kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Katanya, murid-murid juga diberi pendedahan secara berperingkat bermula daripada membina asas robot kepada sistem lebih kompleks dengan aplikasi teknologi dan penyelesaian masalah sebenar di persekitaran sekolah. Kita juga ada satu lagi inisiatif iaitu projek berasaskan pembelajaran (PBL) dengan mengusahakan ternakan cengkerik bersama penglibatan murid-murid.

“Cetusan idea ini bermula apabila kita dapati murid-murid sekolah ini kebanyakannya minat memancing, jadi kita cuba ubah mereka untuk datang sekolah sebab minat memancing itu.

“Apabila kita buat tempat cengkerik ini, kita juga dapat kaitkan dengan robotik menerusi pendedahan sistem inovasi kepada mereka dalam ternakan tersebut sekali gus menarik minat untuk ke sekolah,” katanya.

Mohd Amirul yang juga merupakan Jurulatih Utama Robotik negeri berkata, SK To’Ba sebelum ini turut mencapai beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan menerusi beberapa penghasilan inovasi robotik.

Katanya, antara kejayaan terbesar sekolah itu adalah merangkul pingat emas, perak dan gangsa dalam Pertandingan Inovasi Pembelajaran Peringkat Antarabangsa anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Dalam mengembangkan lagi inovasi robotik, SK To’Ba turut menjalinkan kerjasama erat dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE – MAIPs),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Perlis, Che Rasaidi Che Yob berkata, jabatan amat menyokong inisiatif pembangunan makmal robotik itu yang dapat menjadi faktor ‘wow’ dan menarik minat murid terhadap teknologi STEM di peringkat sekolah rendah.

Katanya, usaha tersebut juga dapat membina ekosistem pembelajaran dengan berteraskan kepada kepercayaan diri sendiri (self believe), keyakinan diri (self confident), penghargaan diri (self esteem) dan motivasi diri (self motivation).

“Penerapan aspek inovasi sejak di peringkat awal merupakan satu usaha yang baik dalam memastikan tiada mana-mana murid ketinggalan dalam perkembangan teknologi semasa,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN