MAIPk minta orang ramai tidak terpengaruh isu surau lama - Utusan Malaysia

MAIPk minta orang ramai tidak terpengaruh isu surau lama

BANGUNAN yang digunakan sebagai surau di Kampung Seri Keramat, Pasir Puteh di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan sebarang dakwaan tidak tepat berhubung isu sebuah bangunan yang digunakan sebagai surau lama di Kampung Seri Keramat di sini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, ini kerana bangunan surau lama tersebut berada di atas tanah milik syarikat pemaju swasta.

Katanya, pembinaan bangunan surau tersebut juga dibuat tanpa sebarang permohonan dan tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan pihak MAIPk selaku pihak berkuasa agama negeri dan pembinaannya tidak sah dan bertentangan dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Dalam isu ini, tanah tapak surau lama tersebut tidak pernah diwakafkan, tidak berdaftar sebagai harta wakaf MAIPk dan tiada sebarang permohonan rasmi dibuat sebelum pembinaannya.

“Disamping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bertarikh 30 September – 1 Oktober 2020 menetapkan bahawa surau lama tersebut perlu dipindahkan kerana berada di atas tanah bukan wakaf,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, peruntukan subseksyen 87(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 mensyaratkan mana-mana bangunan yang ingin dibina, diguna atau diiktiraf sebagai masjid atau surau mestilah didirikan di atas tanah yang telah diwakafkan secara sah atas nama MAIPk.

Jelasnya, bagi menyelesaikan isu itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan satu tapak baharu yang diwakafkan secara sah atas nama MAIPk, terletak kira-kira 250 meter dari tapak asal.

“Syarikat pemaju juga telah mengambil langkah bertanggungjawab menanggung sepenuhnya kos pembinaan sebuah surau baharu di tapak yang telah diwakafkan atas nama MAIPK. Bangunan surau ganti yang baharu telah siap dan telah digunakan,” katanya.

Kata Mohd. Annuar, jawatankuasa surau yang sah telah dilantik oleh MAIPk pada 2 Januari 2024 bagi menguruskan bangunan surau baharu tersebut mengikut undang-undang, peraturan, dan arahan pentadbiran yang ditetapkan.

“MAIPk menegaskan bahawa setiap pembinaan rumah ibadat bagi umat Islam di negeri Perak mesti dibuat dengan kebenaran MAIPk dan mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan oleh undang-undang serta kehendak syarak.

“Perbuatan memilih untuk mensensasikan perkara ini mengundang kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kerja-kerja merobohkan bangunan surau lama itu, iaitu Surau Al-Karamah tidak diteruskan hari ini seperti yang dijadualkan.

Difahamkan tindakan itu tidak dilakukan ekoran perkembangan terkini urusan mahkamah membabitkan beberapa pihak termasuk kumpulan penduduk .

Bangunan surau lama itu terletak di Kampung Sri Keramat dekat Pasir Puteh di sini, dibina oleh pene­roka awal perkampungan Melayu di situ sejak 40 tahun lalu dan menjadi tumpuan penduduk­nya dengan pelbagai aktiviti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN