Mahkamah Allahabad lumpuh dibebani lebih sejuta kes tertunggak

Mahkamah Allahabad lumpuh dibebani lebih sejuta kes tertunggak

SEORANG lelaki menyusun fail kes di luar Mahkamah Tinggi Allahabad. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAHKAMAH Tinggi Allahabad, antara yang tertua dan paling berprestij di India kembali menjadi tumpuan, kali ini kerana beban luar biasa lebih sejuta kes tertunggak yang menjadikannya mahkamah paling sesak di negara itu.

Kes-kes jenayah, harta dan kekeluargaan ada yang terbiar berdekad-dekad, meninggalkan ribuan rakyat di negeri terpadat India di Uttar Pradesh dalam ketidakpastian undang-undang.

Pesara kerajaan, Babu Ram Rajput, 73, mengadu sudah lebih 30 tahun berjuang dalam pertikaian tanah.

Selepas membeli sebidang tanah pada 1992, Rajput kini masih menunggu keputusan selepas pemilik lama mencabar jualan itu.
“Saya hanya berharap kes ini diputuskan sementara saya masih hidup,” katanya.

Krisis di Allahabad menggambarkan masalah lebih luas dalam badan kehakiman India melibatkan jumlah hakim terlalu kecil yang berdepan lambakan kes tanpa henti.

Mahkamah yang sepatutnya menempatkan 160 hakim tidak pernah penuh, menyebabkan setiap hakim menanggung ratusan kes sehari, malah ada yang mencecah lebih 1,000 kini.

Masa bekerja sekitar lima jam umpama memberikan kurang satu minit bagi setiap kes, menyebabkan banyak yang langsung tidak sempat didengar.

Peguam berkata, kes-kes yang mendesak seperti rayuan jaminan atau permohonan penangguhan pengusiran biasanya didengar terlebih dahulu, sekali gus menolak kes-kes lama lebih jauh ke bawah senarai.

Peguam kanan, Syed Farman Naqvi berkata, mahkamah sering mengeluarkan perintah sementara atau interim bagi menangani kes-kes mendesak, namun setelah keperluan segera itu dipenuhi, kes berkenaan lazimnya tertangguh apabila kes baharu terus menimbun.

Bekas hakim, Amar Saran menyifatkan pendekatan mahkamah sebagai ‘menebas rumput’, arahan ringkas yang hanya memindahkan beban ke jabatan kerajaan atau mahkamah bawahan.

Pada April lalu, mahkamah berdepan dengan hakikat kelewatan sistemnya ketika memutuskan kes rogol dan bunuh yang tertangguh selama lebih 40 tahun.

Sewaktu keputusan akhirnya dibacakan, empat daripada lima lelaki yang disabitkan kesalahan sudah meninggal dunia.

Mahkamah mengarahkan seorang lagi tertuduh yang masih hidup supaya menyerah diri, sambil mengakui kekesalan kerana gagal menjatuhkan keputusan lebih awal.

Peguam di Allahabad sendiri pernah memfailkan petisyen mendesak pelantikan lebih ramai hakim, menyifatkan mahkamah itu lumpuh kerana kekosongan jawatan.

Mahkamah Agung India turut menyuarakan kebimbangan, menegaskan sistem penyenaraian kes di Allahabad tidak menentu dan sudah runtuh.

Keadaan ini menghimpit orang ramai, terutama mereka yang terpaksa menempuh ratusan kilometer ke Prayagraj dengan notis singkat, hanya untuk mendapati kes tidak sempat didengar.

Ramai peguam berulang kali mendesak penubuhan cawangan Mahkamah Tinggi yang terletak di bandar lain bagi memudahkan akses dan mempercepatkan proses pendengaran kes di bahagian barat Uttar Pradesh, cadangan yang sudah dikemukakan sejak 1985 tetapi tidak dilaksanakan.

Proses melantik hakim baharu pula amat perlahan, melibatkan saringan berlapis dari hakim kanan, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Mahkamah Agung.

Tahun lalu, hanya seorang hakim dilantik meskipun hampir separuh kerusi kosong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN