Luckin Coffee peroleh sijil halal untuk dua cawangan pertamanya

Luckin Coffee peroleh sijil halal untuk dua cawangan pertamanya

JEFF Lim (tengah) bersama Ahmad Aminurrashid Abd. Aziz (dari kiri) dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Noor Haslina Osman (dua dari kiri) semasa majlis meraikan persijilan halal jenama itu di Menara Hextar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama kopi antarabangsa, Luckin Coffee Malaysia menerima pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi dua cawangan pertamanya di Sunway Velocity 2 dan AEON Maluri.

Pensijilan itu menandakan langkah penting Luckin Coffee dalam memastikan setiap produk yang dihidangkan menepati piawaian halal tertinggi serta memenuhi keperluan pelanggan Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Jeff Lim berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen jenama itu terhadap kepercayaan dan kualiti dalam setiap aspek operasinya.

“Kami amat berbangga mengumumkan bahawa Luckin Coffee kini diperakui halal secara rasmi. Ia adalah janji kami untuk memastikan setiap pelanggan menikmati kopi Luckin dengan penuh keyakinan,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman sijil halal Luckin Coffee. 

Beliau berkata, sejak mula beroperasi di Malaysia pada Januari lalu, Luckin Coffee memberi tumpuan kepada pengalaman runcit berasaskan teknologi yang mudah, inovatif dan mampu milik, sambil mengekalkan nilai serta sensitiviti tempatan.

Sementara itu, Pengurus Pematuhan Halal Luckin Coffee Malaysia, Ahmad Aminurrashid Abd. Aziz  berkata, sijil halal menjadi keutamaan sejak awal operasi jenama itu di negara ini.

“Kami menubuhkan pasukan khas halal dan jaminan kualiti bagi memastikan pematuhan rapi dalam setiap aspek operasi daripada pemilihan bahan mentah hingga penyediaan minuman.

“Dua cawangan pertama itu dianggap sebagai fasa ujian akhir sebelum kumpulan kedua premis dihantar untuk proses pensijilan seterusnya.

“Selepas ini, kami akan hantar kumpulan kedua untuk pensijilan. Pada masa depan, sekurang-kurangnya 10 cawangan akan dihantar dalam setiap kumpulan,” ujarnya.

Ahmad Aminurrashid berkata, proses mendapatkan sijil halal bagi setiap cawangan memakan masa antara tiga hingga enam bulan, bergantung kepada dokumentasi dan pengesahan oleh pihak berkuasa.

“Dengan pasukan halal dan kualiti yang komited setiap hari, kami berharap semua cawangan dapat disahkan halal menjelang suku pertama 2026,” tambahnya.

Setakat ini, Luckin Coffee memiliki 48 cawangan di seluruh Malaysia, kebanyakannya tertumpu di Lembah Klang dan dijangka mencecah 50 cawangan menjelang hujung bulan ini.

Menurut Pengarah Pemasarannya, Ellen Ch’ng, selain Lembah Klang, pihaknya juga merancang untuk meluaskan operasi ke selatan dan utara Semenanjung Malaysia pada tahun hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN