PUTRAJAYA: Muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil dilaporkan menjadi punca kepada kemalangan maut yang berlaku hingga mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan berkata, punca kejadian itu diperoleh menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berhubung insiden itu yang telah disiapkan.
“Hasil siasatan mendapati punca utama kemalangan adalah akibat muatan berlebihan pada lori tipper yang membawa batu kerikil iaitu melebihi 70 peratus daripada had Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.
“Keadaan itu menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan dan perlanggaran dengan lori FRU yang sedang berkonvoi pulang ke Ipoh,” katanya hari ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, laporan turut menjelaskan bahawa tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng.
Sebaliknya, kemalangan berpunca daripada faktor operasi dan pematuhan, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori serta ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi.
Jelas MOT, laporan itu disediakan secara bebas dan objektif Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan atas arahan Jemaah Menteri ialah dengan tujuan mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, ia termasuk mencadangkan langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
“Sebanyak 16 syor keselamatan telah dikemukakan merangkumi enam bidang utama, antaranya peningkatan pematuhan ICOP Keselamatan, penambahbaikan Akta 715 serta peningkatan ciri keselamatan kenderaan kerajaan.
“Ini seperti pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk,” katanya.
Kementerian menegaskan, siasatan keselamatan ini tidak bertujuan untuk menetapkan kesalahan atau menentukan liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya umemperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat agar tragedi seumpama ini tidak berulang.
Katanya, laporan penuh boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia di www.mot.gov.my mulai hari ini.
Pada 13 Mei lalu, kenderaan membawa anggota FRU dirempuh dari hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng. Kemalangan berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU lain dalam pergerakan konvoi pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, lapan anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN
– UTUSAN

 
								 
											









