PETALING JAYA: Lima pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat kerana menentang kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak akan diberi peluang untuk kembali ke dalam parti itu walaupun dibenarkan mengemukakan rayuan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, tindakan mereka selepas dikenakan hukuman jelas menunjukkan tiada keinsafan, sebaliknya terus menimbulkan kekacauan dan memburukkan keadaan dalam parti.
“Saya jamin mereka yang dipecat tiada peluang untuk kembali, walaupun secara teknikal mereka boleh merayu. Tapi saya bukan Pengerusi Lembaga Rayuan.
“Dalam keadaan mereka sudah dihukum, sementara menunggu keputusan rayuan, mereka masih melakukan tindakan yang semakin hari semakin parah. Itu sama sekali tidak membantu rayuan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Muhammad Hilman Idham, hukuman yang dikenakan sepatutnya menjadi pengajaran, namun sebaliknya mereka tidak menunjukkan rasa insaf dan terus melanggar disiplin serta peraturan parti.
“Bagi saya, tindakan mereka itu hanyalah satu usaha sia-sia menunggu keputusan rayuan, tetapi pada masa sama bertindak seolah-olah menuntut hukuman yang lebih berat,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Hilman menyifatkan penggantungan keahlian selama satu penggal terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal juga tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
“Wan Ahmad Fayhsal sudah empat kali ponteng apabila dipanggil Lembaga Disiplin. Kalau saya jadi Pengerusi Lembaga Disiplin, saya gantung dia 10 penggal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan beberapa lagi ahli Bersatu akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin dalam masa terdekat, namun enggan memperinci sebabnya.
“Sekarang ini, gerakan untuk menjatuhkan Presiden sudah tiada dalam Bersatu. Gerakan itu kini hanya berbunyi di luar parti,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Bersatu mula bertindak termasuk memecat dan menggantung keahlian pemimpinnya yang didapati bersekongkol menentang pucuk pimpinan parti terutama Muhyiddin sebagai Presiden.
Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan itu selepas siasatan mendapati mereka melanggar Perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan ahli termasuk isu 120 akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan cubaan menjatuhkan Muhyiddin.
Bermula dengan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, parti itu turut memecat Mohd. Azrudin Md. Idris (Ketua Bersatu Bahagian Hang Tuah Jaya), Mohd. Faizal Asmar (Ketua Bersatu Bahagian Pengerang), Mohd. Fadhli Ismail (Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur) dan Mohd. Isa Mohd. Saidi (Ketua Bersatu Bahagian Ampang).
Selain itu, keahlian Wan Ahmad Fayhsal turut digantung selama satu penggal.
Selepas itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pahang ekoran Saifuddin meminta Muhyiddin berundur bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu
Mengulas dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa wujud Trojan Horse dalam Bersatu, Muhammad Hilman menyifatkan tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh bekas ketuanya itu kebelakangan ini sebenarnya memperlihatkan ciri-ciri jelas seorang Trojan Horse dalam parti.
Beliau menjelaskan, Trojan Horse ialah individu yang berada dalam organisasi namun menggunakan naratif serta skrip pihak musuh untuk menyerang kepimpinan parti sendiri.
“Pandangan saya, itu satu penilaian yang tepat. Bagaimana kita nak kenal Trojan Horse? Dia bersama dengan kita, tetapi menggunakan skrip musuh. Itulah Trojan Horse, gunting dalam lipatan, duri dalam daging. Dia sebahagian daripada kita, tetapi menyerang kita dari dalam dengan menggunakan naratif pihak lawan,” katanya.
Menurut Hilman, Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini antara individu yang dapat kepercayaan penuh kepimpinan parti termasuk Muhyiddin namun kini menyerang pucuk pimpinan. – UTUSAN











