NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa keselamatan Thailand mengenal pasti lima daripada 10 individu yang terlibat dengan rompakan kedai emas di Pasar Raya Big-C di Sungai Golok, di sini minggu lalu.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, individu terbabit ialah Muhammad Nasai Jeyo, Bakri Samea, Suhaiming Awanu, Mahama Romsee Jehteh dan Saifuddin Yusoh.
Katanya, bagaimanapun kelima-lima suspek itu dipercayai sudah melarikan diri ke Malaysia selepas merompak barang kemas bernilai lebih RM3.11 juta.
“Siasatan pasukan khas Polis Wilayah 9 di tempat kejadian dan pikap yang digunakan dalam rompakan itu menemukan Deoxyribonucleic Acid (DNA) tiga daripada 10 suspek yang terlibat dalam rompakan itu.
“Salah seorang suspek mengalami luka ketika rompakan di kedai emas dipercayai terkena kaca cermin pameran. Daripada DNA darah itu, pihak berkuasa mengenal pasti pelaku terbabit,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini semalam.
Sumber ISOC4 memberitahu, kesan DNA turut ditemukan di dalam dua buah trak pikap yang digunakan dan ditinggalkan dalam kebun kelapa sawit di Daerah Waeng, berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.
Katanya, empat daripada lima suspek pernah terlibat dalam beberapa kes melibatkan ancaman keselamatan termasuk memiliki dan menyembunyikan bom buatan sendiri.
“Pihak berkuasa Thailand percaya sesetengah perompak terbabit telah melarikan diri ke Malaysia. Ini adalah kes besar dan diberi keutamaan sehingga ke peringkat menteri.
“Sebab itu kami meminta pihak berkuasa dan rakyat Malaysia membantu mengesan kelima-lima suspek yang dikenal pasti ini,” katanya. – UTUSAN










