Lepas Keli Afrika ke perairan terbuka, DOF tunggu penjelasan MBSP

Lepas Keli Afrika ke perairan terbuka, DOF tunggu penjelasan MBSP

SEBAHAGIAN daripada ikan Keli Afrika yang dilepaskan ketika pertandingan memancing anjuran MBSP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.-FACEBOOK/JEJAK AIR TAWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Jabatan Perikanan Negeri (DOF) Pulau Pinang memandang serius isu pelepasan ikan asing oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam satu pertandingan memancing anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, baru-baru ini.

Pengarahnya, Zarina Zainuddin berkata, pihaknya telah mengambil maklum berhubung perkara itu dan siasatan awal juga telah dijalankan buat masa ini.

“Pihak jabatan (DOF Pulau Pinang) kini sedang menunggu maklum balas rasmi daripada pihak MBSP bagi melengkapkan proses semakan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, ratusan kilogram (kg) ikan Keli Afrika atau nama saintifiknya Clarias Gariepinus telah dilepaskan di sebuah tasik berhampiran menara MBSP dalam pertandingan berkenaan, baru-baru ini.

Tindakan tersebut bagaimanapun mengundang kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk nelayan kerana perbuatan melepaskan spesies ikan asing ke perairan terbuka dianggap sebagai satu kesalahan di bawah akta DOF.

Sebagai rujukan, Garis Panduan Pelepasan Ikan oleh Orang Awam yang dikeluarkan Jabatan Perikanan menetapkan bahawa hanya spesies ikan asli dibenarkan untuk dilepaskan ke perairan umum.

Pelepasan ikan asing atau bukan asli adalah dilarang sama sekali kerana berisiko mengganggu keseimbangan biodiversiti, menjejaskan habitat, serta mengancam populasi ikan asli melalui persaingan dan pemangsaan.

Dalam pada itu, Zarina menegaskan, pihaknya akan terus memastikan kelestarian sumber asli perikanan negara dipelihara dan mahu semua pihak bekerjasama dengan merujuk terlebih dahulu kepada DOF negeri sebelum melaksanakan sebarang aktiviti pelepasan ikan.

ZARINA ZAINUDDIN

Katanya, langkah tersebut penting agar tindakan yang diambil tidak menjejaskan keseimbangan ekosistem dan sumber asli yang diwarisi.

“Jabatan (DOF Pulau Pinang) juga ingin menegaskan bahawa sebarang program pelepasan benih ikan, termasuk yang melibatkan aktiviti perikanan rekreasi, perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pihak kami.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang serta memastikan semua aktiviti berkaitan dijalankan secara terkawal dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya yang menggesa semua pihak lebih berhati-hati dalam mengambil berat tentang implikasi pelepasan ikan asing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN