PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, lencongan jalan secara berperingkat akan dilaksanakan di laluan Kulai-Sedenak bermula 27 hingga 30 Oktober ini bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan dijalankan.
Menurut PLUS, ketika ini projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng (Utara) ke Senai (Utara) sedang giat dijalankan melibatkan kerja-kerja pelebaran membabitkan jambatan-jambatan merentangi kawasan lebuh raya di laluan Kulai-Sedenak.
“Ketika kerja-kerja dijalankan, kenderaan akan dilencongkan ke laluan paling kanan bagi mewujudkan zon kerja yang selamat di samping meminimumkan gangguan trafik kepada pengguna lebuh raya.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini”, katanya dalam kenyataan.
PLUS menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi semua papan tanda dan arahan yang dikeluarkan ketika melalui kawasan kerja-kerja pembinaan tersebut.
Untuk maklumat trafik semasa dan bantuan, pengguna boleh merujuk kepada Pembantu Maya PUTRI, aplikasi X@plustrafik atau paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih, atau menghubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya berlaku kecemasan.-UTUSAN










