Lelaki didakwa sebabkan kematian pelancong Jepun - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa sebabkan kematian pelancong Jepun

HADZARSHAH Abu Hassan Al Sha'ari didakwa di Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Selepas hampir setahun ‘melarikan diri’, seorang bekas pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu.

Tertuduh, Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu lori didakwa telah memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian penumpang bas, Michiyo Saito.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 230.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.30 petang, 24 Oktober 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah selain tidak memberi kerjasama kepada polis.

“Kes itu turut mendapat perhatian kerajaan Persekutuan dan Jepun memandangkan ia melibatkan kematian warga negara tersebut, selain kebimbangan tertuduh akan melarikan diri,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Mukmin Aimi Azmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dikenakan dengan alasan lelaki itu tidak mempunyai pendapatan tetap serta perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah.

Beliau berkata, kegagalan lelaki itu hadir pada prosiding pendakwaan kes berkenaan pada Mei lalu disebabkan masalah kesihatan akibat kemalangan yang dialaminya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN