Lebih 46,000 kandungan palsu diturunkan sejak 2022

Lebih 46,000 kandungan palsu diturunkan sejak 2022

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 46,130 kandungan palsu di media sosial sejak 2022 sehingga 30 September 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia sebagai usaha berterusan mengekang penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Dari 1 Januari 2022 hingga 30 September 2025, MCMC telah mengemukakan sebanyak 54,175 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan palsu dengan 46,130 kandungan berjaya diturunkan.

“Tindakan penurunan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti yang telah ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkenaan langkah kementerian bagi mengawal serta mengekang penularan berita palsu melalui media sosial terutamanya TikTok, WhatsApp, Facebook dan Instagram.

Fahmi berkata, kementerian sedang melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan dan etika penggunaan internet.

“Setakat 30 September 2025, KIS telah dilaksanakan di 3,825 institusi pendidikan dengan penyertaan melebihi 218,000 peserta manakala 337 program telah dijalankan untuk masyarakat umum melibatkan lebih 220,000 peserta di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN