Lebih 31,000 rakyat lagi dapat manfaat BUDI95

Lebih 31,000 rakyat lagi dapat manfaat BUDI95

PENGGUNA motosikal mengisi petrol menerusi BUDI95.- UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat sistem subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95), selepas kerajaan meluaskan kelayakan kepada tiga kelompok baharu.

Jumlah itu melibatkan lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selain lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah,

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk  lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“MoF telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

“MoF kini sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya hari ini.

Pada masa sama, MOF berkata, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan.

Katanya, manfaat itu diberikan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.

“Kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN