Lebih 100,000 pelajar baharu daftar di universiti awam kemasukan September

Lebih 100,000 pelajar baharu daftar di universiti awam kemasukan September

GELAGAT pelajar membawa barangan peribadi ke kolej kediaman pada Majis Pendaftaran Pelajar Baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2025/2026 di Kolej Kediaman Tun Dr Ismail 2 (KTDI 2) Bangi baru-baru ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti awam (UA) di seluruh negara menerima pendaftaran lebih 100,000 pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026 yang mula dibuka pada penghujung September lalu.

Jumlah tersebut merangkumi pelajar tempatan, antarabangsa, orang kurang upaya (OKU), atlet sukan serta pelajar Orang Asli yang diberi peluang melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat dan bidang.

Berdasarkan maklumat daripada universiti, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi kali ini melibatkan kemasukan di pelbagai peringkat pengajian termasuk diploma, ijazah sarjana muda, sarjana, doktor falsafah (PhD) serta kursus profesional di seluruh negara.

Hampir separuh daripada pelajar baharu yang mendaftar mendapati dari keluarga yang berpendapatan rendah (B40), sekali gus menunjukan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pelajar mendapat akses pembelajaran yang terbuka.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi antara semua universiti awam dengan 48,410 pelajar baharu di seluruh kampusnya.

Pencapaian tersebut selari dengan mandat UiTM sebagai institusi terbesar negara yang memberi peluang luas kepada pelajar Bumiputera menjejakkan kaki ke menara gading.

Kemasukan besar-besaran itu turut melibatkan pelajar daripada pelbagai latar belakang sosial dan negeri termasuk Sabah dan Sarawak, sekali gus memperkukuh peranan UiTM sebagai pemangkin mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara.

Selain UiTM, Universiti Malaysia Sabah (UMS) merekodkan 5,123 pelajar, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima 4,549 pelajar, manakala Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mendaftarkan 4,673 pelajar terdiri daripada 3,877 pelajar ijazah sarjana muda dan 796 pelajar diploma.

Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima 4,078 pelajar baharu, termasuk 355 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendaftarkan 4,016 pelajar daripada 4,403 tawaran keseluruhan, manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerima 4,233 pelajar, lebih 2,000 daripadanya daripada golongan berkeperluan.

Selain itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendaftarkan 4,216 pelajar, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2,313 pelajar, Universiti Sains Malaysia (USM) 2,717 pelajar dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) seramai 2,779 pelajar.

Bagi universiti di Pantai Timur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendaftarkan 2,105 pelajar termasuk 15 antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) 2,476 pelajar dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebanyak 2,892 pelajar. Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut mencatatkan pendaftaran tertinggi sejak penubuhannya dengan 1,590 pelajar baharu.

Pelbagai inisiatif turut disediakan untuk menyambut kemasukan pelajar baharu termasuk dengan penyediaan skim bantuan kewangan, pinjaman pendidikan, juga pengecualian sementara bayaran yuran pendaftaran untuk pelajar yang kurang berkemampuan.

Sambutan menggalakan dari pendaftaran pelajar baharu ini mencerminkan usaha berterusan universiti awam untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing untuk masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN