PETALING JAYA: Larangan pelajar berusia 16 tahun ke bawah menggunakan telefon pintar perlu menetapkan verifikasi tambahan dan proses pengesahan identiti pengguna (eKYC) ibu bapa bagi memastikan golongan bawah umur tidak sewenang-wenangnya menggunakan media sosial tanpa pengawasan.
Pengarah Operasi Pemasaran Digital Qoyy Global, Muhammad Emir Badrul Hisham berkata, pelaksanaan mekanisme pengesahan ibu bapa bukan sahaja meningkatkan kawalan keselamatan digital, malah memperkukuh tanggungjawab ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan media sosial secara berhemah.
“Jika tiada kaedah ini, bagaimana untuk memastikan identiti remaja bawah 16 tahun untuk menggunakan telefon pintar sekali gus mengelak risiko penipuan identiti, eksploitasi dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.
“Verifikasi tambahan daripada ibu bapa penting bagi memastikan keselamatan dan tanggungjawab digital. Mekanisme ini bukan sahaja mengelak penipuan dan pemalsuan identiti, malah turut memperkukuh peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelajar berusia 16 tahun ke bawah dilarang menggunakan telefon pintar sementara penggunaan media sosial pula perlu sentiasa dipantau.
Larangan tersebut adalah antara tiga cadangan bagi menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah yang semakin membimbangkan akibat pengaruh media sosial.
Sebaliknya pakar pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Diana Hamzah berkata, pelaksanaan eKYC bukan penyelesaian mutlak kepada masalah buli siber dan ketagihan media sosial yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, walaupun eKYC mampu mengawal pendaftaran akaun, ia tidak dapat memantau tingkah laku sebenar pengguna dalam talian.
“Kebanyakan kes buli siber berlaku sesama rakan sekolah, bukannya daripada pihak luar. Ketagihan media sosial pula berpunca daripada pengaruh algoritma aplikasi, bukan faktor umur semata-mata,” katanya.
Diana berkata, pendidikan digital perlu diberi keutamaan bagi melahirkan pengguna muda yang celik maklumat dan beretika dalam talian. – UTUSAN










