KUBANG PASU: Bomba berjaya menyelamatkan lapan sekeluarga yang dipercayai terperangkap akibat banjir di sebuah dusun di Kampung Wang Perah, Changlun di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.11 malam itu, mereka yang terperangkap berusia 10 hingga 50 tahun melibatkan empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, kawasan itu dinaiki air akibat limpahan sungai setelah hujan lebat berlarutan selama beberapa jam sejak sebelah petang.
“Kami dimaklumkan bahawa lapan sekeluarga terperangkap di sebuah dusun selepas air sungai di kawasan tersebut melimpah.
“Sehubungan itu, Pusat Gerakan Operasi mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk menghampiri kawasan berkenaan menggunakan jentera.
“Anggota kemudian menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan berjaya menemui empat lelaki dewasa, tiga wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki.
“Kesemua mereka berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN










