Lantik peguam dan lapor polis, Haneesya Hanee buru agensi culas bayaran RM18,000

Lantik peguam dan lapor polis, Haneesya Hanee buru agensi culas bayaran RM18,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengalaman menanggung kerugian mencecah RM18,000 gara-gara ditipu sebuah agensi meninggalkan trauma kepada pelakon dan model, Haneesya Hanee, 25.

Kata pelakon filem Malam Terlarang ini, disebabkan pengalaman buruk itu, dia kini lebih teliti dan berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran mempromosikan produk atau jenama.

“Kesilapan saya adalah kerana terlalu percaya dengan jenama kereta tersebut, saya ambil mudah tentang perjanjian, membuatkan agensi yang menjadi ‘orang tengah’ bertindak melengah-lengahkan penyerahan dokumen (kontrak) kepada saya.

“Sebelum itu, tidak terdetik pun dalam fikiran yang saya ini berpotensi ditipu kerana kereta yang saya promosikan itu merupakan jenama besar dan terkenal.

“Pada saya, tak akanlah pihak pengurusan jenama berkenaan tidak mengkaji terlebih dahulu latar belakang agensi berkenaan yang sebelum ini banyak melakukan penipuan membabitkan ramai artis.

“Sekarang ini saya serik, jadi sebelum terima sebarang tawaran berlakon atau mempromosikan produk dan jenama, saya akan letakkan terma dan syarat, tuntut agensi lunaskan dahulu bayaran sebagai antara syarat perjanjian.

“Memang sukar, kerana bukan semua agensi yang terima terma dan syarat itu. Apa pun saya masih belajar cara kendalikan agar kes seperti ini tidak menimpa saya lagi,” katanya.

Haneesya ditemui pada sidang media dan malam gala filem Malam Terlarang baru-baru ini.

Anak kelahiran Pulau Pinang tersebut sebelum ini mendedahkan salah laku sebuah agensi pencarian bakat yang melarikan wang RM18,000 yang sepatutnya diserahkan kepada Haneesya sebagai bayaran selepas mempromosikan sebuah jenama kereta sekitar Julai lalu.

Mengulas mengenai perkembangan kes tersebut, Haneesya memaklumkan telah membuat laporan polis dan menyerahkan urusan tuntutan kepada peguam yang dilantik.

“Peguam telah menghantar notis tuntutan kepada agensi berkenaan namun pihak mereka telah mengembalikan notis berkenaan kepada beliau.

“Saya buntu sebenarnya. Lebih mengejutkan saya pula dipersalahkan pengeluar kereta berkenaan apabila saya rujuk isu ini kepada mereka.

Pihak mereka ibarat lepas tangan dan menyalahkan saya kerana berurusan dengan agensi yang salah, walhal mereka yang melantik agensi berkenaan sebagai orang tengah untuk mencari pempengaruh dan artis untuk mempromosikan jenama kenderaan itu.

“Apa pun proses guaman masih berjalan dan saya serahkan semua urusan kepada peguam. Kalau ada rezeki, adalah,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN