Langkawi untuk santai, bukan lagi membeli-belah

Langkawi untuk santai, bukan lagi membeli-belah

AKTIVITI air menjadi pilihan utama pengunjung ke Langkawi berbanding untuk berbelanja membeli barangan seperti pinggan mangkuk atau bagasi ketika bercuti di Pulau Langkawi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Status Langkawi sebagai syurga beli-belah kian dipersoalkan kerana pulau le­genda itu kini lebih popular sebagai destinasi beriadah dengan aktiviti sukan air dan pelancong yang menenangkan fikiran di pantai.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pulau ini mendapati pelancong baik domestik mahupun antarabangsa berduyun datang ke Langkawi bukan lagi untuk memborong coklat, pinggan mangkuk, bagasi, hinggalah rokok dan minyak wangi tetapi hanya bersuka ria dengan akti­viti yang ditawarkan.

Malah pelancong yang ditemui memberitahu, membeli-belah bukan lagi faktor utama mereka ke pulau tersebut apatah lagi setelah status bebas cukainya hanya suam-suam kuku sejak 2021.

Mazian Ariffin, 35, dari Perlis berkata, mereka lima sekeluarga sering ke Langkawi hanya untuk beriadah di Pantai Chenang, di sini hampir setiap bulan.

“Nak datang beli barang taklah, lagi pun beli dalam talian lagi murah. Saya selalu datang nak ‘healing’ dan bawa anak-anak mandi laut di pantai-pantai sahaja.

“Bukan nak membeli-belah malah kalau makan pun kami sewa inap desa supaya boleh masak dan kalau beli coklat pun sikit saja. Dahulu seronok juga boleh borong rokok, sekarang tidak lagi,” katanya ketika ditemui di Dataran Chenang, di sini baru-baru ini.

Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan, walaupun berkongsi perairan yang sama dengan Thailand namun pulau-pulau di Semenanjung Malaysia jauh ketinggalan daripada segi kedatangan pelancong berbanding negara jiran itu.

Seorang pelancong dari India, Samyukta Aravinda, 40, berkata, dia bercuti di Kuala Lumpur bersama keluarga memilih untuk ke Langkawi bagi menghabiskan baki percutiannya.

“Di sini kami mencuba pelbagai aktiviti sukan air yang seronok dan habiskan hari kami dengan tengok matahari terbenam di Pantai Chenang.

“Ada pertunjukan api juga di sini yang menarik pada waktu malam tetapi kalau nak membeli-belah itu tidaklah sangat menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN