Kraf dorong komuniti setempat jana pendapatan

Kraf dorong komuniti setempat jana pendapatan

Orang ramai yang berkunjung ke reruai jualan komuniti kraf sempena Bazaar Seni & Kraf ASEAN di Kompleks Kraf di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dorong komuniti kraf baharu jana pendapatan sendiri melalui program ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025.

Penyertaan 42 komuniti kraf baharu di bawah PPKK menghimpunkan lebih 5,000 produk kraf daripada 14 negeri di seluruh Malaysia, yang menampilkan identiti tersendiri berdasarkan hasil kraf masing-masing.

Bagi peserta dari Sabah, Sthephenie Sylvester, 39, berkata, program di bawah Kraftangan Malaysia memberi banyak manfaat kepadanya sebagai pembuat kraf kerana selain membantu memasarkan produk, ia turut membuka ruang menambah ilmu keusahawanan dan memperluas jaringan pelanggan dari seluruh negara.

Menurut Sthephenie, produk kraf kami seperti batik linut, tali lanyard dan Sulayau adalah hasil komuniti kraf di Labuan dengan menampilkan identiti corak bunga rafflesia.

“Saya berasa bersyukur sebab jualan kali ini sangat baik, bukan sahaja pengunjung tempatan malah pelancong luar turut tertarik terutamanya dengan tali lanyard berasaskan manik.

“Berkat bantuan Kraftangan Malaysia sejak 2023, komuniti kraf kami kini semakin berkembang dan pernah menerima lebih 1,000 tempahan lanyard manik toho dalam tempoh sebulan,” katanya.

Seorang lagi peserta, peserta dari Negeri Sembilan, Anita Dahlan, 51, pula memperkenalkan corak bunga lada yang diinspirasikan daripada bunga lada dalam masakan tradisional masak lemak cili api.

Anita berkata, beg batik bercorak bunga lada menjadi inspirasi kerana keunikan rekaannya yang mencerminkan budaya dan citarasa masyarakat setempat Negeri Sembilan yang menyukai juadah

masak lemak cili api.

“Sambutan di bazar ini sangat baik, ramai yang buat tempahan untuk dijadikan beg tangan, tudung dan kain sarung,” katanya.

Sementara itu, Khadizah Ramli, 44, dari Kampung Nour Iman, Bintulu, Sarawak berkata, penglibatan dalam PPKK di bawah Projek Kampung Angkat Madani telah membawa perubahan besar kepada komuniti setempat.

“Projek berkenaan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada suri rumah tetapi juga meningkatkan kemahiran komuniti dalam hasilkan pelbagai produk kraftangan untuk menjana pendapatan seperti batik linut dan manik bercorak etnik Borneo,” katanya.

Maimun Mohamud, 63, dari Langkawi berkata, penganjuran AACB membuka peluang besar kepada komuniti golongan B40 dan ibu tunggal untuk menjana pendapatan.

“Saya memang minat anyaman rotan dan bila diberi peluang menyertai PPKK, saya teruskan kerana inilah cara untuk jana pendapatan tambahan sejak bergelar ibu tunggal sambil kekalkan warisan kraf tempatan,” katanya.

Pelaksanaan AACB dari 10 hingga 20 Oktober adalah usaha untuk mendorong komuniti kraf baharu terus giat membuat pengeluaran produk kraf kerana ianya merupakan kesempatan kepada komuniti kraf menjana pendapatan utama atau sampingan dan menjadi usahawan kraf.

AACB berfungsi sebagai platform penting untuk melatih komuniti kraf Baharu untuk menjadi usahawan kraf dan inisiatif ini adalah bagi memperkasa komuniti setempat melalui bidang kraf sebagai sumber pendapatan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN