KPN arah semua kontinjen ‘masuk’ sekolah

KPN arah semua kontinjen ‘masuk’ sekolah

Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua ketua polis negeri diarahkan supaya meningkatkan rondaan di kawasan sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga pendidik sentiasa terjamin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, arahan itu membabitkan pelaksanaan rondaan berkala oleh unit rondaan, risikan jenayah serta pasukan pemantauan khas bagi memantau sebarang ancaman atau aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan sekolah.

“Saya telah mengarahkan semua ketua polis negeri supaya mengadakan rondaan dan jika perlu masuk ke kawasan sekolah sekitar satu hingga lima minit untuk memastikan keselamatan dengan kereta ronda dan sebagainya, kami akan laksanakan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan memang ada mesyuarat dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata, lebih 9,000 sekolah di seluruh negara yang mana setiap daripadanya mempunyai pegawai perhubungan sekolah (PPS) berperanan sebagai penghubung antara pihak sekolah dengan polis.

“Jadi kami akan memperkukuhkan sinergi yang ada antara PDRM dan KPM. Jika kami perlu melihat kepada keperluan-keperluan akan datang, kami akan pastikan bahawa perkara ini dapat laksanakan,” katanya.

Media semalam melaporkan kerajaan bersetuju untuk meneruskan langkah meletakkan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas melihat kepada masalah buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN